Tiada baju raya untuk ibu - Utusan Malaysia

Tiada baju raya untuk ibu

MUHAMMAD Ammar Rizqi (kiri) menunjukkan baju raya yang dibeli ibunya sebagai menunaikan hasrat arwah bapanya yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 21 April lalu ketika ditemui di Bagan Serai baru-baru ini. -UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Aidilfitri tidak lama lagi begitu suram buat seorang wanita, Norhazlina Johari, 31, yang kehilangan suaminya yang maut dalam kemalangan jalan raya manakala dua anaknya yang masih kecil, sekelip mata menjadi anak yatim.

Norhazlina berkata, dua anak lelakinya masing-masing berusia satu dan tujuh tahun kehilangan bapa mereka, Mohd. Izzul Farhan Mohd. Nayan, 34, yang maut dalam kemalangan di Jalan Bukit Merah di sini pada 21 April lalu.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila motosikal suaminya hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah kereta, menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Kata Norhazlina, kematian mengejut suaminya sudah tentu memberi kesan mendalam kepada mereka sekeluarga apatah lagi menjelang Aidilfitri terutama buat anaknya, Muhammad Ammar Rizqi, 7, dan Muhammad Ashraf Rifqi 1 tahun 7 bulan.

“Persiapan Aidilfitri saya buat ala kadar sahaja kerana saya masih tidak boleh melupakan kemalangan yang meragut nyawa suami saya.

“Saya hanya belikan baju raya untuk anak-anak sahaja seperti yang dihajatkan oleh arwah suami.

“Untuk diri sendiri, saya tak beli apa-apa. Tiada baju raya untuk saya pada Syawal kali ini, raya kali ini suram, tidak seperti semasa ada suami dan bapa kepada anak-anak saya,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, dia reda dengan kematian suaminya namun di sudut hatinya masih teringat bagaimana sehari sebelum kemalangan, suaminya memujuknya yang merajuk kerana hasratnya untuk membeli baju raya lebih awal tidak tercapai.

“Sehari sebelum kemalangan, suami memujuk saya kerana saya merajuk sebab suami tak tunaikan janji untuk membawa saya dan anak-anak beli baju raya.

“Saya tak sangka itu adalah pujukan terakhir suami sebelum dia meninggal dunia. Raya tahun ini tiada lagi tema baju raya untuk kami sekeluarga yang kini tinggal tiga beranak,” katanya.

Sementara itu, nasib Norhazlina dan anaknya mendapat perhatian Pasaraya Econsave Wilayah Utara yang memberikan bantuan iaitu barangan keperluan harian keluarga itu baru-baru ini.

Antara bantuan yang disampaikan ialah barang keperluan asas harian, lampin pakai buang, pakaian raya untuk dua anak Norhazlina, peralatan elektrik dan sumbangan wang tunai RM1,000.

Sumbangan disampaikan oleh Pengurus Pasaraya Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor dan Pengurus Cawangan Econsave Bagan Serai, Mohd. Fared Arsad. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya