Tiada baju raya untuk anak-anak - Utusan Malaysia

Tiada baju raya untuk anak-anak

NOOR Amira Rumzi (kanan) dan Muhammad Ghazali (terbaring) bersama anak-anak yang masih belum membeli kelengkapan Aidilfitri pada tahun ini di Bandar Puncak Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Walaupun Aidilfitri bakal disambut tidak lama lagi, namun bagi Noor Amira Rumzi, perasaan untuk menyambutnya hambar apabila suaminya kini terlantar akibat dihempap kontena kosong di Pelabuhan Utara, 3 Julai tahun lalu.

Noor Amira, 31, berkata, sejak suaminya, Muhammad Ghazali Sabri, 34, lumpuh daripada pinggang sehingga kaki, dia dan anak-anak hanya meneruskan kehidupan seadanya dan bergantung sepenuhnya dengan bayaran bulanan sijil sakit (MC) diperoleh daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kira-kira RM2,000 sebulan.

Menurut ibu kepada enam cahaya mata itu, sehingga hari ini, dia masih belum membelikan anak-anak baju raya kerana wang yang diperoleh digunakan untuk keperluan lain seperti persekolahan.

“Mereka ada bertanya bila hendak membeli baju raya, namun saya hanya tersenyum. Alhamdulillah, anak-anak seakan-akan faham dengan situasi yang menimpa bapa mereka. Malah anak sulung, Nur Adlina Yusrina berusia 12 tahun juga banyak membantu dalam menjaga bapanya yang terlantar.

“Cuma buat masa ini, suami memang memerlukan sokongan keluarga dan anak-anak kerana kejadian menimpa memberi kesan mendalam kepada dirinya yang memang kuat bekerja demi menyara kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di kediaman ibu mentuanya di Bandar Puncak Alam di sini semalam.

Tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan Noor Amira menyambut Aidiladha di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang kerana menjaga Muhammad Ghazali yang lumpuh sekali gus menyebabkan mereka sekeluarga kehilangan punca pendapatan.

Muhammad Ghazali yang bekerja sebagai pemandu lori lumpuh dalam kemalangan di tempat kerja apabila dia ketika itu berada di tempat pemandu dan kontena hendak diturunkan pada paras ketinggian kira-kira tingkat tujuh bangunan jatuh lalu menghempap bahagian kepala kenderaan tersebut.

Akibat kejadian itu, Muhammad Ghazali mengalami kecederaan dalaman terutama mengenai saraf tunjang sehingga dia tidak dapat merasai apa-apa walaupun kawan-kawan memegangnya.

Jelas Noor Amira, doktor memaklumkan suaminya mempunyai harapan untuk sembuh dalam tempoh kira-kira tiga tahun dan perlu menjalani rawatan fisioterapi.

“Bagaimanapun susulan Covid-19, rawatan tersebut sukar dilakukan di HTAR dan sekiranya dibuat di hospital swasta atau hospital universiti berhampiran sini kos perbelanjaan amat tinggi iaitu sehingga RM30,000.

“Siapa tidak sedih melihat keadaan suami seperti itu, namun saya perlu kuat demi anak-anak. Malah, ada suatu masa, ketika sedang menonton televisyen, suami menyatakan apabila dia sihat mahu membawa kami sekeluarga ke Tadom Hill Resort kerana suasananya yang tenang,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Noor Amira di talian 018-3210284. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN