KUALA LUMPUR : Perintah sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang dilaksanakan dan dikuatkuasakan kerajaan mulai tengah malam ini bukanlah Perintah Berkurung (curfew), sebaliknya ia bagi mengehadkan pergerakan orang ramai agar tidak keluar dari rumah tanpa arah tujuan.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tiada perintah berkurung, namun semua aktiviti perniagaan, pusat membeli-belah dan premis makanan ditutup selepas 8 malam.
“Ini bererti tiada tempat untuk orang ramai atau berkumpulan berkeliaran pada waktu malam dan dinasihatkan untuk mereka duduk di rumah sahaja,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Acryl Sani berkata, masyarakat hanya dibenarkan bergerak dalam 10 km radius sahaja dan jika lebih daripada 10 km radius mereka telah melakukan pelanggaran prosedur operasi standard yang ditetapkan.
“Jika ada keperluan mendesak sahaja barulah keluar rumah namun mereka digalakkan membawa keluar bil utiliti sebagai bukti sokongan.
“Tujuan utama sekatan pergerakan penuh adalah untuk memastikan orang ramai tidak keluar rumah tanpa sebarang tujuan yang mendesak,“ jelasnya.-UTUSAN ONLINE