BEAUFORT: Meraikan Aidilfitri dalam keadaan banjir buat kali pertama masih boleh diterima namun, mengadakan kenduri 100 hari pemergian arwah bapa ketika banjir cukup menyedihkan.
Anuma Abdul Hadi,34, tidak dapat membendung kesedihan yang dirasai apabila kenduri arwah bapanya tidak dapat dilakukan dengan sempurna.
Anuma berkata, mereka mengadakan kenduri dalam kalangan ahli keluarga terdekat dalam keadaan air mulai naik.
“Kerisauan keadaan banjir itu melebihi kesedihan yang ditanggung akibat pemergian beliau (bapa).
Tapi, apa boleh buat ini sudah takdir alam,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan DSP Mohd Dun Banir semalam.
Anuma yang menetap di Kampung Bakalau, Beaufort ini berkata, biarpun sudah biasa dipindahkan di PPS akibat banjir yang melanda namun, ini kali pertama mereka ditempatkan di PPS ketika Aidilfitri.
Memang suasananya sedikit berbeza kerana ketika orang lain bergembira menyambut Aidilfitri bersama keluarga, mereka pula terpaksa duduk di dalam khemah di PPS.
Apa yang membimbangkan Anuma adalah sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak sulungnya yang kini Tingkatan Satu. Biarpun segalanya di hujung jari namun, pasti anaknya merasa tidak selesa membuat kerja sekolah di dewan sebegini.
“Alhamdulillah dalam dunia semakin moden ini semua kerja sekolah diberikan melalui telefon. Jadi, anak saya hanya menutup khemah untuk menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh cikgu,” katanya.
Sementara itu, Azizah Mat Miasin, 31, sejak berpindah ke PPS pada 3 Syawal, anak-anak sudah sibuk bertanya bila lagi mahu berhari raya.
“Rasa sedih juga sebab anak-anak yang masih kecil ingin berada di rumah kerana bebas untuk bermain bunga api. Tapi, apa boleh buat sudah begini keadaan, kami terpaksa juga pindah ke PPS demi keselamatan diri dan anak-anak,” kata ibu kepada lapan anak ini.
Katanya, kediaman mereka yang berada di tingkat bawah mula dinaiki air sejak raya kedua. Pada mulanya, mereka ingatkan itu hanya banjir biasa biarpun air Sungai Padas sudah mula melimpah. Apabila menyedari air semakin naik hingga hampir menaiki rumah di tingkat atas, mereka mula meminta bantuan untuk dipindahkan ke PPS. -UTUSAN ONLINE