Terkejut Jakim carum Perkeso untuk arwah suami - Utusan Malaysia

Terkejut Jakim carum Perkeso untuk arwah suami

GAMBAR kenangan Abdul Hamid Dak bersama keluarganya dan keadaan motosikal beliau selepas maut dirempuh sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu. - Foto media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Arwah suami pernah cakap sebelum bulan puasa lalu yang dia tidak bertugas imam masjid lagi selepas hari raya dan saya tidak sangka memang betul pun jadi kenyataan.”

Demikian imbau Danlat Ariffin, balu Allahyarham Abdul Hamid Dak, apabila menjadi penerima yang pertama Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri untuk pegawai masjid di negara ini.

Skim kelolaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu diwujudkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada imam, bilal, noja, siak dan guru takmir bermula awal tahun ini.

Lebih manis, beliau menerima replika cek pada majlis pelancaran rasmi skim itu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini.

Abdul Hamid, 70, maut dalam kemalangan tragik apabila motosikal ditunggangnya dirempuh dan diseret sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kuala Krau, Pahang pada 11 Mei lalu.

Mangsa yang merupakan Imam Masjid Al-Rahmah di Felda Jengka 25, Pahang itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas memimpin solat fardu Zohor bersama jemaahnya.

 “Saya memang tidak tahu suami ada caruman dalam Perkeso, tetapi dihubungi agensi itu yang memaklumkan arwah dicarum Jakim sebab bertugas sebagai imam,” jelas Danlat lagi.

Wanita yang berusia 66 tahun itu dan mesra disapa sebagai Zainab berkata, suaminya sendiri langsung tidak pernah pun bercerita mengenai skim ini yang baru diwujudkan kerajaan.

Dia beliau bersyukur jasa pengorbanan Abdul Hamid yang berkhidmat selama 36 tahun sebagai imam selepas tiga hari menjadi peneroka Felda itu, dihargai oleh pihak Jakim.

Danlat yang dikurniakan enam anak itu berkata, mereka berdua berasal dari Kedah sebelum ditawarkan peluang untuk menyertai tanah rancangan tersebut awal dekad 1980-an lalu.

 “Memang terkejut apabila Perkeso telefon dan saya beritahu yang suami tiada kerja tetap, cuma imam biasa sahaja sebelum dimaklumkan, jawatan itu ada caruman dibuat,” katanya.

Namun, Danlat mengucapkan terima kasih kepada Jakim dan Perkeso kerana mengambil berat nasib petugas masjid yang terdedah kepada risiko bahaya ketika pergi dan balik bekerja.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, tidak ramai Orang Bekerja Sendiri (OBS) sektor informal mencarum dalam agensi itu.

 Sehingga hari ini ujarnya, seramai 147,702 individu OBS aktif direkodkan dan jumlah itu amat kecil berbanding keseluruhan 2.72 juta orang yang tidak bekerja makan gaji dengan majikan.

 “Justeru, kami menyeru OBS tampil mencarum dalam skim khas ini yang sebenarnya sudah ada sejak 2017 lagi untuk melindungi mereka jika ditimpa kemalangan tidak diduga,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya