KUALA TERENGGANU: Aktiviti solat fardu di masjid dan surau di negeri ini dibenarkan dengan hanya 12 jemaah sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh (total lockdown) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa esok.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, kehadiran jemaah hanya membabitkan kalangan ahli kariah yang bermastautin.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan Mufti Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron; Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Badrul Shah Mohd. Idris dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus susulan peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan akhir-akhir ini.
“Bagaimanapun, solat Jumaat tidak dibenarkan dan digantikan dengan solat zuhur membabitkan 12 jemaah yang terdiri daripada pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.
“Pengurusan dan solat jenazah di masjid dan surau turut tidak dibenarkan sepanjang tempoh ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Osman, pelaksanaan majlis akad nikah boleh dilakukan di Pejabat Agama Daerah dengan kehadiran lapan orang termasuk wali dan jurunikah.
Katanya, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin meminta seluruh rakyat tabah dalam melalui situasi ini di samping menjaga keselamatan diri dan kekal berada di rumah jika tiada sebarang keperluan.
“Baginda menyeru rakyat memperbanyakkan doa, berzikir dan bertahmid kepada Allah SWT agar dilindungi daripada wabak,” katanya.