KEMAMAN: Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, kira-kira 32 peniaga lemang di Kijal di sini terpaksa berputih mata apabila tempahan dibatalkan pada saat akhir berikutan larangan aktiviti rentas daerah.
Impian untuk meraih pendapatan lumayan musnah dan kini hanya bergantung kepada jualan harian di sekitar Kemaman sahaja.
Bagi Zahari Zulkifli, 38, hampir separuh daripada keseluruhan 800 batang lemang yang ditempah pelanggan luar daerah termasuk Dungun dan Kuala Terengganu dibatalkan sejak kerajaan mengumumkan larangan tersebut, Sabtu lalu.
Dia yang sudah 20 tahun mengusahakan perniagaan itu bersama isterinya, Noor Yushanies Hamat, 37, buntu memikirkan ujian yang bertimpa-timpa selepas melalui situasi terputus bekalan buluh semasa awal Ramadan lalu hingga terpaksa mencari bekalan berkenaan di hutan.
“Selepas kerajaan mengumumkan larangan rentas negeri dan daerah di seluruh negara, saya terima banyak panggilan telefon untuk membatalkan tempahan, tetapi saya tidak menyalahkan pelanggan kerana keadaan yang memaksa mereka berbuat demikian.
“Apabila bekalan buluh sudah ada, tempahan pula terpaksa dibatalkan dan sebagai peniaga, saya betul-betul dalam dilema,” katanya ketika ditemui semalam.
Zahari berkata, perniagaan lemang pada tahun ini disifatkan lebih teruk berbanding 2020 berikutan pergerakan rentas daerah yang masih dibenarkan pada masa tersebut.
Seorang peniaga, Rohani Abdul Razak, 50, berkata, rata-rata mereka turut menanggung kerugian besar kerana segala persiapan sudah disediakan termasuk beras pulut, kelapa, daun pisang dan buluh.
Katanya, berdasarkan tradisi lebih 1,000 batang lemang laris dalam sehari terutama menjelang Syawal tetapi kini jualan yang mampu diraih sekadar 50 batang.
“Dua hari sebelum raya peniaga biasanya tidur di kedai untuk menyiapkan tempahan pelanggan dan jualan runcit harian, tetapi sekelip mata perancangan kami musnah.
“Tahun ini memang tiada suasana raya, jumlah paling banyak dibeli pelanggan cuma RM20 dan tidak ada yang mencecah hingga RM100 atau lebih,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di sekitar Lemang Kijal mendapati lokasi tumpuan orang ramai untuk membeli lemang sebagai buah tangan setiap kali Hari Raya Aidilfitri tidak lagi sesak berbanding kelaziman. -UTUSAN ONLINE