MERSING: Seekor tapir betina seberat 300 kilogram yang dipercayai tersesat berjaya dihantar ke habitar liar selepas memasuki perangkap yang dipasang sejak tiga bulan lalu di Felda Tenggaroh 5, Mersing di sini, Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan tapir berkenaan memasuki perangkap pada pukul 8.30 pagi yang diletakkan di kawasan penempatan itu.
“Perangkap tersebut telah dipasang pada 17 Februari yang lalu selepas menerima aduan orang ramai yang melihat tapir tersebut berkeliaran di kawasan penempatan dan kelihatan dalam keadaan kurang sihat.
“Operasi menyelamat telah dijalankan oleh 12 kakitangan daripada Perhilitan Daerah Mersing, Pusat Konservasi Hidupan Liar Jemaluang dan Santuari Gajah Johor,” katanya ketika dihubungi di sini..
Salman berkata, kerja-kerja memindahkan tapir betina itu dari dalam perangkap ke dalam kotak pemindahan telah bermula pada pukul 9.30 pagi dan selesai kira-kira 20 minit kemudian.
Katanya, tapir tersebut kemudiannya dibawa ke Pejabat Perhilitan Mersing untuk diberikan rawatan oleh doktor veterinar jabatan.
“Selepas pemeriksaan dijalankan didapati tapir tersebut sihat dan hanya mengalami luka-luka di bahagian kulit kepala akibat melecet yang tidak serius serta boleh dilepaskan ke habitat liar yang baharu.
“Operasi pemindahan tapir ke Taman Negara Endau Rompin telah dijalankan pada hari yang sama bermula pukul 9 malam dan selesai sepenuhnya pada pukul 4 pagi kelmarin,” katanya.
Sementara itu, Salman berkata, Perhilitan Negeri Johor merekodkan sebanyak dua ekor tapir telah mati dilanggar kenderaan dalam tahun ini di negeri ini.
Jelasnya, dengan usaha memasang perangkap, diharapkan dapat menyelamatkan spesies tapir di negeri ini.