PETALING JAYA : Mana-mana suspek yang menjadi tahanan polis perlu melalui semakan kesihatan terlebih dahulu bagi mengelakkan berlakunya insiden tahanan mati di dalam lokap.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan itu akan diambil oleh pegawai penyiasat atau mana-mana pihak yang terbabit dalam penahanan suspek.
Kata beliau, semakan kesihatan suspek akan dilakukan sama ada menerusi individu itu sendiri atau waris terdekat.
“Kami memandang serius mengenai isu kematian suspek dalam tahanan dan tidak mahu kes yang berlaku sebelum ini berulang semula.
“Sejak akhir-akhir ini, cara pengendalian tahanan juga sudah lebih baik dan akan terus ditambah baik pada masa akan datang,” katanya dalam pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Ketika diminta mengulas mengenai siasatan punca kematian seorang lelaki, A. Ganapathy, 40, yang didakwa dipukul polis dengan paip getah ketika berada dalam tahanan sehingga kakinya terpaksa dipotong, Acryl Sani berkata, pihaknya menyerahkan siasatan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sekiranya terdapat salah laku di pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden seumpama itu.
“Ketika ini, kita sedang berusaha membawa PDRM kepada perkhidmatan lebih baik serta dekat dengan masyarakat,” ujarnya.
Terdahulu, polis menafikan sebuah video menunjukkan lelaki dipukul dalam sebuah bilik seperti tular di media sosial berkaitan kes seorang tahanan yang meninggal dunia selepas sebulan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang, pada 29 April lalu.
Ganapathy 40, peniaga susu lembu ditahan polis pada 24 Februari lalu dan meninggal dunia di Hospital Selayang pada 18 April selepas sebulan menerima rawatan.
Keluarga Ganapathy mendakwa, mangsa dipukul ketika dalam tahanan dan menderita akibat kecederaan pada kaki, lengan dan bahu.-UTUSAN ONLINE