'Syurga' beli belah Padang Besar lumpuh ? - Utusan Malaysia

‘Syurga’ beli belah Padang Besar lumpuh ?

Siri PKP menyebabkan perniagaan terjejas sehingga ada antara peniaga menjadi buruan ah long atau bank.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Arked niaga Padang Besar di sini merupakan antara lokasi pelancongan atau ‘syurga’ beli-belah yang cukup terkenal dengan menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong dari seluruh negara.

Namun, sejak lebih setahun lalu dengan beberapa siri pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk terbaharu PKP 3.0 ketika ini, menyebabkan pemandangan serta suasana di situ lengang.

Malah difahamkan, lebih 75 peratus peniaga sudah gulung tikar dengan ketika ini hanya sekitar 12 premis daripada keseluruhan 160 kedai sahaja dibuka di arked niaga tersebut.

Malah, hasil pemerhatian Utusan Malaysia mendapati para peniaga yang masih bertahan di situ hanya mampu termenung di premis masing-masing termasuk pada cuti hujung minggu berikutan ketiadaan pelanggan.

Seorang peniaga jersi, Md. Zaki Mohamed,47, berkata, sejak tempoh PKP, perniagaannya terjejas teruk malah boleh dikatakan setiap hari terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Katanya, jika dahulu, dia mampu menjana pendapatan sehingga RM3,000 sehari khususnya pada cuti hujung minggu dengan orang ramai sentiasa memenuhi arked ini.

Namun kata Md. Zaki yang sudah lebih 30 tahun menjalankan perniagaan, suasana kemeriahan di Padang Besar sebagai salah satu lokasi tarikan pelancongan di negeri ini sudah tidak lagi berlaku sejak pelaksanaan PKP serta larangan rentas negeri.

“Sebelum ini perniagaan (PKP 1.0, 2.0) sudah cukup teruk, selepas itu kembali bernafas namun dengan pelaksanaan semula PKP menyebabkan peniaga terus terkesan. Banyak kali saya datang berniaga dari pukul 9 pagi hingga 6 petang, satu helai jersi pun tidak terjual. Pelanggan pula adalah tiga empat orang yang melalui kawasan arked niaga ini.

“Mahu tidak mahu, kenalah bersabar dan datang juga berniaga kerana ini satu-satunya punca pendapatan sejak sekian lama. Sejak PKP lalu sehingga terbaharu ini, dianggarkan lebih 75 peratus peniaga sudah gulung tikar, kedai-kedai pula terpaksa ditutup kerana sudah tidak mampu lagi bertahan.

“Kalau suasana seperti ini berterusan, tidak mustahil arked niaga Padang Besar ini boleh lumpuh sepenuhnya. Saya juga hanya mampu bertahan sehingga hujung tahun ini sahaja, kalau keadaan tidak berubah, terpaksalah cari sumber rezeki baharu,” katanya sambil berharap pandemik Covid-19 segera berlalu.

Seorang lagi peniaga pakaian, Zainab Mahmud, 65, berkata, sepanjang PKP ini, hendak melihat 10 pelanggan sehari di arked tersebut juga agak susah dengan suasana pula sunyi dan lengang sepanjang masa.

“Mahu tidak mahu terpaksa juga datang berniaga untuk cari duit belanja jika boleh terjual satu atau dua pakaian sehari,” kata ibu kepada tiga orang anak yang sudah hampir 30 tahun menjalankan perniagaan di sini.

Peniaga makanan ringan, Wana Abdul Rahim, 38, pula berkata, sejak pelaksanaan PKP, boleh dikatakan sudah lebih 75 peratus peniaga sudah gulung tikar dengan jumlah tersebut mungkin bertambah jika keadaan seperti ini masih berterusan.

“Kalau tengok (di sini) mana ada orang (pelanggan). Hendak boleh RM100 sehari pun payah. Sebelum PKP baru-baru ini, perniagaan kembali pulih namun terpaksa berhadapan lagi dengan PKP,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya