KEMAMAN: Keasyikan 12 individu termasuk tiga wanita yang dipercayai penonton lumba haram dikompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang kerana berkumpul di tepi Jalan Kuantan-Terengganu di Kertih di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 35 tahun itu dikenakan tindakan berkenaan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Katanya, dalam serbuan Op Samseng Jalanan yang diadakan antara pukul 3 hingga 4 pagi itu, sebanyak lima kenderaan turut disita pihak polis.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan mereka turut bersahur, solat Subuh berjemaah di samping mendengar tazkirah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Hanyan, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung kegiatan lumba kereta di lokasi berkenaan sejak beberapa minggu lalu.
Sehubungan itu, katanya, polis turut mempertingkatkan rondaan dan kawalan di beberapa lokasi lain termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dikenal pasti menjadi lokasi lumba haram kereta serta motosikal pada bulan Ramadan.- UTUSAN ONLINE