TAIPING: Penyandang kerusi Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Al Hafiz Syed Abdul Fasal yakin akan dipilih untuk mempertahankan kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 dan kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) percaya perkhidmatan kepada rakyat yang beliau berikan selama ini merupakan faktor utama akan dipilih untuk bertanding di kerusi Parlimen yang sama.
Menurutnya, apatah lagi beliau menang kerusi Parlimen Bukit Gantang pada PRU-14 atas tiket BN setelah sebelum itu, BN kalah di kerusi yang sama.
“Daripada kalah sebelum ini, saya berjaya membawa kemenangan. Dalam PRU-14, ketika suasananya ramai yang kalah, saya berjaya membawa kemenangan di sini.
“Saya sudah melakukan yang terbaik untuk rakyat di sini, jadi tiada alasan untuk tidak menamakan saya sebagai calon PRU-15 di sini,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis ramah mesra bersama sukarelawan Kelab Rukun Tetangga P059 dalam program masak nasi beriani bersama artis Hijrah di sini hari ini.
Syed Abu Hussin berkata, beliau sedia berdepan dengan sesiapa sahaja bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang.
Menurutnya, sebagai pemimpin yang dipilih, beliau telah memberikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa pilih kasih, fahaman agama, bangsa mahu pun latar belakang politik.
Katanya, beliau membantu mereka yang memerlukan terutamanya golongan asnaf, fakir, miskin, anak yatim dan juga mereka yang memerlukan bantuan terdesak semasa pandemik Covid-19.
“Segala peruntukan Parlimen saya agih-agihkan kepada rakyat selain peruntukan tambahan melalui wang zakat perniagaan saya untuk rakyat di kawasan ini tanpa memandang latar belakang politik,” katanya.
Beliau yakin suasana politik sudah berubah dengan sentimen kepartian bukan lagi menjadi asas utama pilihan pengundi hari ini.
Katanya, pengundi tidak lagi hanya memandang calon berasaskan parti tetapi keperibadian calon dan rekod perkhidmatan seseorang calon dalam membantu rakyat akan menjadi keutamaan.
“Rakyat mahukan seorang calon yang mereka kenal, rakyat kenal hati budinya termasuk kerja-kerja membantu rakyat serta sentiasa berada dengan mereka dalam apa jua keadaan terutama semasa kegetiran hidup yang mereka alami,” katanya.