Syarikat simpan buangan terjadual e-waste tanpa kebenaran didenda RM115,000 - Utusan Malaysia

Syarikat simpan buangan terjadual e-waste tanpa kebenaran didenda RM115,000

SEBUAH syarikat yang menyimpan buangan terjadual e-waste tanpa kebenaran di PKFZ, Pelabuhan Klang, Selangor ini didenda RM115,000 oleh Mahkamah Sesyen Klang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) didenda RM115,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menjalankan aktiviti penstoran buangan terjadual e-waste tanpa kebenaran pada 21 Januari tahun lalu.

Hakim Razali Ariffin menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat tersebut selaku orang kena saman (OKS) yang diwakili pengurusnya selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat yang beroperasi sejak 2020 itu didapati telah menjalankan aktiviti penstoran buangan terjadual SW110 iaitu e-waste yang disyaki diimport dari negara luar tanpa mengemukakan laporan Environmental Impact Assesement (EIA) bagi aktiviti yang ingin dijalankan pada 21 Januari 2020.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 34A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34A(8), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] yang sama.

Jika sabit kesalahan, ia boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, syarikat tersebut didakwa menjadikan salah satu premis di dalam kawasan PKFZ sebagai tempat menyimpan buangan e-waste yang diimport tanpa lesen dan kebenaran bertulis daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Bagi pertuduhan kedua, OKS didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18(3), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Jika sabit kesalahan, ia boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Syarikat itu turut didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 19(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan boleh dihukum di bawah Sekseyn 41, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] yang sama.

Jika sabit kesalahan, ia boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar dalam kenyataannya berkata, kegagalan syarikat mengendali dan menguruskan buangan terjadual mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 berpotensi menyebabkan berlakunya pelupusan buangan berbahaya secara haram dan pencemaran terhadap tanah-tanih negara.

“JAS Selangor sentiasa akan mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya