PUTRAJAYA: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di seluruh negeri diberi kebebasan melaksanakan kaedah sesuai bagi mengatasi masalah isu ketidakhadiran ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, antara kaedah yang boleh dilaksanakan ialah menggerakkan unit bergerak vaksin dari rumah ke rumah bagi memberi suntikan kepada penerima yang gagal dan berdepan masalah untuk hadir ke PPV.
“Minggu lalu, JKN Terengganu telah minta kebenaran Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi melaksanakan unit bergerak vaksin ke kampung-kampung untuk memberikan vaksin dari rumah ke rumah.
“Program itu telah berjaya dilaksanakan, justeru kita telah bagi kebebasan kepada JKN dan PKD untuk mengatasi masalah ketidakhadiran ke PPV ini. Kalau mereka enggan keluar dari rumah, kita akan gerakkan unit bergerak untuk pergi ke rumah mereka,” katanya dalam sidang akhbar mingguan CITF di sini hari ini.
Pada masa sama, Khairy berkata, buat masa ini, pihaknya akan terus menghubungi individu yang gagal hadir ke PPV dan menggalakkan mereka untuk hadir ke slot janji temu vaksin.
Katanya, tindakan kompaun jika tidak hadir ke PPV mungkin akan menjadi pilihan terakhir jika individu berkenaan masih enggan hadir ke PPV.
“Hari ini, kita masih dengan pendekatan hubungi mereka supaya mereka dapat memenuhi janji temu vaksin itu,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa negeri merekodkan jumlah ketidakhadiran untuk menerima suntikan vaksin di PPV yang agak tinggi.
Menerusi laporan itu, seramai 10,827 individu dikesan gagal hadir menerima suntikan vaksin di Kedah dan seramai 10,000 individu turut dikesan melakukan perkara sama di Kelantan.
Pada masa sama, 10,000 individu disahkan gagal menghadiri janji temu vaksin di Pahang, Johor (14,144), Perak (9,000) dan Negeri Sembilan (6,200) Melaka (3,934) dan Perlis (3,000).
Susulan itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) dan CITF bercadang untuk mengenakan kompaun atau penalti kepada individu yang gagal hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) pada hari suntikan.