Sumber elektrik punca kebakaran musim raya - Utusan Malaysia

Sumber elektrik punca kebakaran musim raya

MOHAMAD YUSOFF ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kes kebakaran kediaman pada musim perayaan khususnya Aidilfitri dikenal pasti berpunca daripada elektrik.

Timbalan Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yusoff Abdul Rahman berkata, antara faktor yang dikenal pasti adalah membabitkan kecuaian ketika mengendalikan peralatan elektrik dan penggunaan tenaga elektrik berlebihan.

“Pada musim perayaan, penggunaan peralatan elektrik yang menggunakan haba seperti dapur elektrik dan ketuhar adalah tinggi berbanding biasa untuk menyediakan juadah mahupun biskut raya.

“Kadar penggunaan yang tinggi ini amat bahaya tambahan lagi jika terdapat penyambungan terlalu banyak peralatan elektrik pada satu soket yang boleh mencetus kepada kebakaran,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, statistik direkodkan Zon 1 sepanjang Ramadan ini menunjukkan sembilan daripada 20 kes kebakaran yang dilaporkan adalah membabitkan sumber elektrik termasuk pendawaian elektrik dan litar pintas.

Katanya, selain sumber elektrik, kebakaran juga berpunca daripada api berbara dengan lima kes, tiga kes pelita dan masing-masing satu kes bagi kebakaran dapur memasak dan jenayah.

“Dalam tempoh sama tahun lalu, kita merekodkan 11 kes kebakaran di mana sepuluh kes berpunca daripada sumber elektrik.

“Terdapat peningkatan kes kebakaran melibat kediaman bagi kedua-dua tahun apabila kes pada tahun lalu ialah sebanyak lapan kes kepada 15 kes tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya memastikan perkara berkaitan dengan bebanan sumber elektrik seperti penggunaan plug yang berlebihan dapat dikawal.

“Pemantauan juga perlu dilakukan bagi mengawal anak-anak agar tidak bermain dengan sumber nyalaan seperti mancis dan pemetik api atau sebarang sumber yang boleh mencetus api dan kebakaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya