Sumbangan rakyat Malaysia bantu lahir usahawan kecil di Gaza - Utusan Malaysia

Sumbangan rakyat Malaysia bantu lahir usahawan kecil di Gaza

MOHD. Zin Kandar menunjukkan poster kesedaran berhubung konflik Palestin-Israel ketika ditemui di pejabat MyCARE Johor di Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sumbangan berterusan rakyat Malaysia kepada penduduk Palestin melalui Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) berupaya membantu mereka bangkit membina kehidupan baharu termasuk menceburi pelbagai bidang ekonomi.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Prof. Madya Dr. Mohd. Zin Kandar berkata, sejak kewujudan mereka pada 2010, sebanyak RM150 juta sumbangan rakyat Malaysia telah disalurkan kepada lebih 20 negara dengan 75 peratus daripadanya disampaikan kepada Palestin.

Katanya, antara negara lain yang turut menerima sumbangan rakyat negara ini termasuklah Syria, Indonesia, Myanmar, Sudan, Lubnan dan Kemboja.

“Dengan wang ini, MyCARE dapat menyediakan bantuan kemanusiaan seperti penyediaan bekalan makanan, tempat tinggal sementara, bekalan perubatan dan usaha menaik taraf beberapa bangunan seperti sekolah dan masjid yang rosak diserang Israel.

“Selain itu, kami turut memberi sejumlah dana kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan di sana iaitu Emaar Association for Development and Rehabilitation untuk dijadikan sebagai modal pembiayaan mikro kredit tanpa keuntungan.

“Pembiayaan ini disediakan khusus kepada penduduk Palestin yang tiada pekerjaan dan hendak berusaha sendiri bagi membina kehidupan baharu,” katanya ketika ditemui di pejabat MyCARE Johor, di sini hari ini.

Mohd. Zin berkata, pembiayaan yang diberi itu merangkumi pelbagai jenis perniagaan antaranya perusahaan bengkel, kedai runcit, farmasi, kedai elektrik, kedai perkakas, gerai makanan dan ternakan.

“Setakat ini, dianggarkan seramai 150 individu telah mendapat manfaat daripada projek mikro kredit ini yang sangat dekat di hati saya kerana usaha ini bukan memberi duit semata-mata tetapi memberi joran untuk mereka berdikari.

“Ini penting kerana apabila perusahaan mereka berhasil, ia akan membawa kebaikan kepada ekonomi tempatan,” katanya.

Menurut beliau, bantuan banyak diperlukan di Palestin berbanding negara lain kerana negara lain masih mempunyai kerajaan yang berfungsi jika dibandingkan dengan kerajaan Palestin yang dikategorikan lumpuh.

“Berhubung konflik Palestin-Israel ketika ini, MyCARE menyasarkan untuk mengutip sebanyak ASD$1 juta bagi disumbangkan kepada mereka yang terkesan akibat serangan terbabit,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya