SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru rakyat jelata agar menyambut Hari Raya kali ini dalam suasana yang sederhana dan waspada memandangkan Selangor masih lagi berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa amat bimbang dengan angka kes-kes jangkitan baharu dan kematian di Selangor yang semakin meningkat setiap hari.
Baginda juga mahu rakyat berkorban untuk tidak meneruskan amalan-amalan lazim Hari Raya Aidilfitri seperti pulang ke kampung dan kunjung-mengunjung demi mengelakkan wabak daripada terus merebak sehingga sukar dikawal.
“Beta mahu supaya rakyat jangan mengambil mudah dengan bahaya wabak ini dan terus peka dengan situasi terkini di lokasi masing-masing.
“Beta juga mahu setiap individu yang perlu keluar ke tempat awam untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan khususnya memastikan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka pada setiap masa,” titah baginda di laman sosial Facebook rasmi Selangor Royal Office malam ini.
Sultan Selangor turut bertitah, baginda tidak mahu melihat lebih banyak kematian akibat Covid-19.
“Beta menyeru rakyat agar sama-sama membantu pihak berkuasa untuk menghentikan penularan wabak ini sepenuhnya,” titah baginda. -UTUSAN ONLINE