Stok jeruk banyak rosak, terpaksa dibuang - Utusan Malaysia

Stok jeruk banyak rosak, terpaksa dibuang

BAKAR Noordin terpaksa meneruskan perniagaan jeruknya di pekarangan luar Kompleks Pasar Chowsrata, Jalan Penang , Georgetown di sini meskipun tiada kehadiran pelanggan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pengusaha makanan ikon Pulau Pinang, jeruk di Kompleks Pasar Chowrasta, Jalan Penang di sini terpaksa meneruskan perniagaan warisan itu biarpun tanpa kehadiran pelanggan termasuk berdepan kerugian akibat buah yang sudah rosak.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati suasana di sekitar pekarangan premis menjual jeruk itu lengang dan sunyi tanpa kunjungan pelanggan berbanding sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 lalu.

Seorang peniaga jeruk yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Tat, 52, berkata, perniagaan warisan yang diusahakan keluarganya sejak lebih 40 tahun lalu kini semakin terjejas teruk sehingga 70 peratus sejak pelaksanaan PKP.

Menurutnya, keadaan itu menjadi semakin meruncing selepas arahan larangan rentas daerah dan negeri dikuatkuasakan sehingga memberi kesan kepada jumlah kehadiran pelanggan setiap hari.

“Sejak pukul 9 pagi hingga 5 petang tadi (semalam), nak (hendak) dapat seorang pelanggan pun payah. Kami kini hanya mengharapkan kenalan sahaja yang datang membeli jeruk di sini.

“Disebabkan itu, saya terpaksa membuang jeruk-jeruk yang telah siap dibungkus kerana sudah rosak dan mengehadkan pengambilan stok jeruk yang banyak berbanding tahun-tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sementara itu, pengusaha D’Jeruk Kita, Bakar Noordin, 58, memberitahu, biarpun berdepan ketiadaan pelanggan ketika ini namun dia terpaksa meneruskan perniagaan yang diusahakan bersama anaknya sejak lapan tahun lalu itu.

“PKP kali ini lagi terkesan sehingga 80 peratus berbanding tahun lalu disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat termasuk larangan rentas daerah.

“Pelanggan memang tak ramai disebabkan mereka mengambil langkah berjaga-jaga. Untuk hari ini sahaja, hanya dua orang pelanggan datang membeli jeruk sejak kedai dibuka bermula pukul 9 pagi,” katanya.

Tambahnya, keperitan lebih dirasai ketika pelaksanaan PKP tahun ini berbanding tahun lalu yang mana peniaga menerima bantuan daripada Kerajaan Pusat sebanyak RM3,000.

“Tetapi kali ini kami terpaksa menggunakan wang simpanan untuk menjelaskan sewa kedai dan pembelian stok jeruk,” ujarnya yang menambah, dia juga masih perlu membayar sewa kedai seperti biasa kerana tidak diberi penangguhan oleh penyewa.

Jelas Bakar, dia terpaksa bertahan dengan situasi yang berlaku dengan membuka operasi perniagaan setiap hari bagi menampung sewa kedai sebanyak RM660 seminggu.

“Tak untung pun tak apa, janji kami dapat menjelaskan duit sewa mingguan kedai dan tak hilang pelanggan tetap.

“Bayangkan, untung jualan yang diperoleh pada petang Hari Raya Aidilfitri lalu hanya RM50 berbanding tahun lalu lebih RM1,000,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya