SOP dibuat ikut situasi penularan semasa - Utusan Malaysia

SOP dibuat ikut situasi penularan semasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menjelaskan perubahan prosedur operasi standard (SOP) yang berlaku sebelum ini bukan dilakukan sesuka hati, sebaliknya berdasarkan situasi semasa penularan Covid-19 dalam negara.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akui ramai rakyat khususnya golongan peniaga yang keliru dengan perubahan SOP berkenaan.

Beliau berkata, seperti juga kes positif Covid-19 yang dinamik pada hari ini, kerajaan juga terpaksa menyediakan SOP berdasarkan situasi semasa.

“Ramai yang mempersoalkan SOP pada tiga bulan lalu berbeza pada hari ini. Saya ingin jelaskan bahawa tentu sahaja SOP mesti disesuaikan dengan keadaan hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, beliau menafikan bahawa kerajaan tidak serius dalam menangani wabak ini berikutan perubahan demi perubahan pada SOP yang dikuatkuasakan.

Menurutnya, setiap SOP yang dikuatkuasakan itu dibuat menerusi perbincangan dan mesyuarat di beberapa peringkat termasuk antara kerajaan-kerajaan negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya ingin jelaskan bahawa kerajaan memang serius dalam menangani wabak ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau berharap tidak timbul lagi isu kekeliruan SOP disebabkan tiga status PKP yang berbeza sebelum ini kerana mulai esok hanya ada satu SOP sahaja.

“Pagi tadi, kita sudah seragamkan dan guna pakai hanya satu SOP sahaja yang sudah mengambil kira pandangan semua peringkat termasuk kementerian-kementerian,” katanya.

Katanya, maklumat lanjut mengenai SOP berkaitan kementerian boleh didapati menerusi laman sesawang kementerian berkaitan manakala SOP umum PKP 3.0 boleh disemak menerusi laman sesawang MKN.

Jelasnya lagi, setiap kementerian juga sudah diarahkan untuk mengaktifkan talian hotline masing-masing bagi membolehkan rakyat mendapatkan info lanjut mengenai SOP berkaitan.

Ditanya mengapa kerajaan tidak mahu melaksanakan PKP 3.0 seperti PKP 1.0 yang lalu, Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak mahu lagi menyusahkan rakyat seperti yang berlaku pada PKP1.0 di mana ramai berdepan kesukaran termasuk kehilangan pekerjaan.

“Kerajaan berpandangan perlunya mengimbangi antara keperluan kesihatan dan keperluan ekonomi rakyat.

“Memang betul, PKP 1.0 mampu melandaikan keluk jangkitan Covid-19 dengan cepat tetapi tidak bermakna ia tidak boleh dilakukan dengan PKP 2.0 dan PKP 3.0.

“Kali ini, kita buka sektor ekonomi dengan SOP ketat dan pada masa sama, kita sekat aktiviti sosial dan sebarang perhimpunan,” katanya.

Katanya, PKP 3.0 yang dikuatkuasakan kali ini hampir sama dengan PKP 2.0 tetapi SOP akan diperketatkan lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya