PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhasrat menjadikan skim caruman dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai dasar baharu di seluruh negara bagi melindungi pegawai masjid dan guru takmir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, usaha itu baru dimulakan awal tahun ini melibatkan 25,634 penerima iaitu terdiri daripada 22,504 orang imam, bilal, siak, noja dan marbut serta 3,2130 orang guru takmir di negara ini.
Menurutnya, langkah itu atas keprihatinan kerajaan terhadap aspek kebajikan, perlindungan dan keselamatan nasib golongan tersebut ketika bertugas dalam situasi Covid-19 yang juga boleh dianggap sebagai petugas barisan hadapan dan bertepatan prinsip Maqasid Syariah iaitu memelihara nyawa rakyat.
Kerajaan tambahnya, memperuntukkan RM5,967,595.20 sepanjang tahun ini untuk disalurkan terus kepada Perkeso dengan setiap seorang itu menerima caruman setiap bulan RM19.40.
“Pihak Jakim berbincang dengan Perkeso pada 26 Mac lalu berkaitan perluasan skop tugasan imam, bilal, siak, noja, marbut dan guru takmir.
“Jakim turut menyediakan RM6.9 juta setiap tahun sejak 2019 lalu untuk caruman Perkeso kepada 35,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) seluruh negara,” katanya sebelum melancarkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Perkeso bagi Pegawai Masjid dan Guru Takmir Seluruh Malaysia secara maya di sini hari ini.
Peruntukan itu jelas Zulkifli, disalurkan kepada pihak berkuasa agama negeri selaku agensi pelaksana bagi meringankan beban kewangan mereka yang dianggap bukan pekerja tetap yang turut berperanan sebagai pembimbing, penasihat dan pemudah cara dalam isu kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Pada program tersebut, Zulkifli turut menyerahkan replika cek Perkeso untuk penerima pertama skim berkenaan, Danlat Ariffin susulan kematian suaminya, Allahyarham Abdul Hamid Dak.
Imam Masjid Al-Rahmah di Felda Jengka 25, Pahang itu maut dalam kemalangan jalan raya ketika pulang ke rumah selepas memimpin solat zuhur bersama jemaahnya pada 11 Mei lalu.