GEORGETOWN: Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas) bimbang sekiranya mendapan logam berat yang diragui dialirkan masuk ke Sungai Prai daripada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, di Seberang Perai dekat sini.
Pengerusi Lekas, Zikrullah Ismail berkata, pihaknya mendapat laporan LRA Sungai Dua beroperasi tanpa kolam takungan enap cemar (sludge lagoon).
“Hasil penelitian rambang, kita juga mendapati kolam takungan tersebut seperti tidak wujud.
“Jika berlaku pembuangan sisa enap cemar logam berat terus ke dalam sungai boleh membahayakan kesihatan penduduk sekitar Sungai Prai dan menjejaskan alam sekitar serta ekosistemnya serta jelas melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (akta 127),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya menggesa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memberi penjelasan segera tentang perkara tersebut.
“Ini kerana sisa enap cemar bagi LRA kebiasaannya mengandungi logam berat aluminium yang dikategorikan sebagai buangan terjadual mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2005 di bawah Akta 127.
“Enap cemar ini mengandungi satu atau beberapa logam termasuklah kromium, kuprum, nikel, zink, plumbum, kadmium, aluminium, timah, vanadium dan berilium,” katanya.
Selain itu katanya, Lekas juga berharap siasatan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung perkara itu dapat dilaksanakan.
“Pihak kerajaan negeri juga digesa untuk mengambil tindakan sewajarnya demi kesihatan rakyat dan kesejahteraan alam,” katanya. -UTUSAN ONLINE