PETALING JAYA: Polis menumpaskan sindiket perjudian dalam talian yang menyasarkan warga China sebagai pelanggan selepas menyerbu pusat operasi mereka di sebuah kondominium di di KL Gateway dekat sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam itu, seramai 12 individu termasuk lima warga China berusia antara 17 hingga 25 tahun turut ditahan.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pemeriksaan mendapati semua individu berkenaan adalah pekerja di pusat operasi terbabit berperanan untuk mencari pelanggan dari China melalui aplikasi QQ, wechat dan skype sebelum mempromosikan perjudian dalam talian.
Katanya, analisis terhadap komputer riba dan telefon pintar yang ditemukan di premis mendapati terdapat aktiviti yang mengandungi unsur-unsur berkaitan perjudian dalam talian.
“Kesemua mereka mengaku bekerja selama dua minggu di premis terbabit dengan bayaran gaji antara RM2,500 hingga RM3,000 mengikut kepakaran.
“Sebanyak 11 komputer riba jenama Dell, pelbagai peralatan komputer dan 49 telefon pintar pelbagai jenama serta peralatan akses internet turut dirampas dalam operasi itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Anuar, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,”katanya.- UTUSAN ONLINE