PORT DICKSON: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun perlu membuat kenyataan jelas sekiranya beliau berpendapat Parlimen perlu bersidang ketika ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai seorang yang berwibawa dan bebas, Azhar Azizan perlu melakukannya tanpa berselindung dan memberikan alasan hanya menunggu arahan daripada kerajaan.
“Speaker patut buat kenyataan jelas kalau dia bertindak sebagai seorang Speaker wibawa dan bebas, jangan berselindung (memberitahu) kalau ada arahan daripada kerajaan.
“Apakah kamu pegawai kerajaan kelas tiga? kamu ini Speaker Dewan rakyat, (beritahu) ini pendapat saya, harus adakan sidang untuk bahaskan isu-isu ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Belia dan Sukan Telok Kemang dekat sini hari ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengulas kenyataan Azhar Azizan seperti dilaporkan Utusan Malaysa hari ini bahawa Parlimen sedia bersidang sekiranya kerajaan mahu mengadakannya meskipun dalam tempoh darurat dan situasi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.
Azhar Azizan berkata, isu sama mengadakan sidang Parlimen atau sebaliknya terserah kepada keputusan pihak kerajaan untuk berbuat demikian.
Sementara itu, mengulas mengenai isu melibatkan ahli PKR, Iswardy Morni yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong menerusi video secara langsung di Youtube, Anwar berkata, parti telah awal memberikan amaran kepada individu itu.
“Pada bulan April kita (PKR) nasihat, boleh tegur tapi haruslah jaga tata susila dan adab, kerana ada peraturan kita, itu sahaja kita lakukan. Tapi beliau meneruskan maka kita terpaksa beri amaran secara terbuka,” katanya.
Anwar yang juga Presiden PKR bagaimanapun tidak bersetuju sekiranya Iswardy disiasat di bawah Akta Hasutan.
“Secara prinsipnya saya tidak setuju guna Akta Hasutan dan kita setuju dia diberikan perlindungan guaman kerana ini hak setiap rakyat.
“Saya harap perkara ini dapat ditangani dengan baik, apakah tidak wajar beliau menegur, itu hak setiap rakyat untuk menegur terutama dalam keadaan sekarang, cuma ada kaedah dan kebijaksanaannya, jadi saya harap perkara ini jelas,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE