KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah akan membuat pengumuman khas mengenai perincian pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ pada pukul lima petang ini.
Pengumuman itu juga bakal memperincikan sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan berkuatkuasa bermula Selasa ini.
Sidang akhbar pada petang ini boleh disaksikan melalui siaran televisyen di Astro 502, myFreview 121, Unifi TV 631 dan secara langsung melalui akaun Facebook dan Youtube Bernama TV.
Pada 28 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.
Keputusan itu mengambil kira situasi terkini penularan wabak Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes dan aktif melebihi 70,000 kes.