'Sesak orang datang kerja, bukan rentas negeri balik kampung’ - Utusan Malaysia

‘Sesak orang datang kerja, bukan rentas negeri balik kampung’

KESESAKAN di lebuh raya Changlun-Kuala Perlis memasuki Perlis pada sebelah pagi di Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Kesesakan luar biasa di lebuh raya Changlun-Kuala Perlis memasuki negeri ini pada sebelah pagi ini mencetuskan kebimbangan rakyat sekiranya terdapat cubaan orang ramai merentas negeri balik ke kampung halaman sebelum pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula esok.

Bagaimanapun, menjelaskan situasi tersebut, Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, kesesakan tersebut adalah pemandangan biasa iaitu mereka yang memasuki negeri untuk tujuan kerja di Perlis.

Katanya, pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di sempadan tersebut yang lebih ketat juga mendorong kepada kesesakan sekitar pukul 7 hingga 8.30 pagi itu.

“Bukan orang balik kampung, kesesakan yang berlaku pagi ini adalah seperti hari-hari biasa iaitu orang datang kerja di negeri ini. 

“Cuma bezanya hari ini ramai yang ambil gambar atau video disebabkan esok sudah bermula pelaksanaan sekatan pergerakan penuh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu tular di laman sosial mengenai kesesakan luar biasa memasuki negeri ini di lebuh raya Changlun-Kuala Perlis.

Situasi tersebut mencetuskan rasa panik dalam kalangan rakyat di negeri ini kerana dikhuatiri orang ramai cuba merentas negeri balik kampung sebelum pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula esok.

Sementara itu, Surina memberitahu, pihaknya menambah tiga SJR baharu di negeri iaitu di kawasan Padang Besar menjadikan keseluruhan sebanyak sembilan SJR di Perlis.

“Kita juga menambah 10 pasukan pemantauan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain lima pasukan yang akan melakukan pemeriksaan mengejut di lorong-lorong tikus.

“Dalam masa sama, kita juga telah meletak halangan batu di lorong tikus di Kuala Sanglang. Kita melihat kawasan itu berlaku kekerapan orang keluar masuk.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya terus kekal mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19 di negeri ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya