PUTRAJAYA: Semua pihak terutama badan-badan antarabangsa perlu mengambil tindakan tegas dan bertindak menghentikan kekejaman rejim Zionis Israel ke atas Palestin.
Sambil mengutuk sekeras-kerasnya serangan tanpa perikemanusiaan rejim itu di Masjid al-Aqsa beberapa hari menjelang 1 Syawal, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pencerobohan atau serangan tentera Israel ke atas Palestin bukan saja tidak berperikemanusiaan, malah mencabuli hak rakyat Palestin.
Kata beliau, ini bukan kali pertama Israel menyerang Palestin ketika umat Islam berada dalam fasa terakhir Ramadan dan sedang bersiap bagi menyambut ketibaan Aidilfitri.
“Pencerobohan tentera Israel ke atas Palestin bukan saja tidak berperikemanusiaan, malah mencabuli hak rakyat Palestin yang akhirnya menyaksikan banyak nyawa tidak berdosa termasuklah kanak-kanak menjadi korban.
“Saya menyeru semua pihak dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan seluruh dunia Islam serta badan antarabangsa yang lain perlu mengambil tindakan tegas dan bertindak
menghentikan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau pada masa sama, menyeru seluruh umat Islam khususnya di bumi Malaysia, bermunajat kepada Allah SWT untuk kesejahteraan umat Islam di sana dan bersama-sama meneruskan bantahan sebagai solidariti kepada saudara kita di bumi
al-Quds.
Kata beliau, isu Palestin adalah melangkaui isu umat Islam dan ini merupakan isu kemanusiaan sejagat yang perlu diberi perhatian dunia.
“Kesengsaraan dan penderitaan umat Islam di bumi Palestin perlu dihentikan, ” katanya.
Agensi berita antarabangsa AFP melaporkan, pasukan tentera Israel masih terus melancarkan serangan udara terhadap Gaza pada awal pagi ini.
Ketegangan antara Israel dan Palestin yang bermula sejak Isnin lalu, semakin meningkat sehingga PBB memberi amaran ia bakal mencetuskan peperangan secara besar-besaran.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, setakat ini, sekurang-kurangnya 67 orang termasuk 14 kanak-kanak maut manakala 388 penduduk cedera dalam serangan udara tentera Israel di Gaza.
Siri keganasan itu meletus selepas konflik Israel-Palestin meningkat di Baitulmuqaddis Timur berikutan pasukan keselamatan Israel menyerbu Masjid Al-Asqa dan menyerang penduduk Palestin.