Semua ADUN, Ahli Parlimen diberi jemputan - Utusan Malaysia

Semua ADUN, Ahli Parlimen diberi jemputan

Perbincangan secara maya Khamis lalu diadakan bagi menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai isu Covid-19 dengan mengambil semangat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dakwaan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa mereka tidak menerima jemputan menyertai sesi perbincangan berkaitan kebajikan rakyat Johor secara maya Khamis lalu adalah tidak benar. 

Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor dalam kenyataan berkata, semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor sudah dijemput untuk menyertai sesi perbincangan tersebut yang bermula pukul 10 pagi.

Malah, jelas kenyataan itu, surat jemputan yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (Bahagian Khidmat Pengurusan) ditujukan kepada semua wakil rakyat termasuk daripada parti pembangkang dan tiada seorang pun yang tercicir daripada senarai jemputan.

“Untuk makluman, sesi perbincangan secara maya bersama-sama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad itu diadakan bagi menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai isu Covid-19 dengan mengambil semangat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Atas sebab itu, kelancaran perbincangan dijalankan dengan kerahsiaan yang perlu dipatuhi dan ini termasuk tempat diadakan adalah di lokasi yang telah dipilih oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Khamis lalu, Maszlee mendakwa tidak dibenarkan mengikuti mesyuarat khas Covid-19 Johor yang dilakukan secara maya, berikutan tidak hadir ke Pejabat Daerah Kluang dan cuba membuka pautan mesyuarat khas itu dari premis luar dari lokasi ditentukan. 

Syed Saddiq turut mendakwa tidak menerima sebarang jemputan atau apa-apa maklumat berkenaan mengenai mesyuarat khas tersebut.

Tambah kenyataan itu, lokasi yang dibenarkan oleh Pegawai Daerah adalah di Pejabat Daerah atau di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) sama ada Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah.

Jelasnya, capaian yang diguna pakai juga diuji keselamatannya semasa proses percubaan yang diadakan sebelum itu.

“Ingin ditegaskan bahawa perbincangan yang diadakan adalah demi kebajikan rakyat Johor dalam mendepani Covid-19. Kerajaan negeri mengambil serius perkara tersebut dalam pelbagai aspek, sekali gus tidak mengamalkan sikap pilih kasih terhadap pihak tertentu,” ujarnya. 

Dalam kenyataan sama, pihak berkenaan turut mengucapkan terima kasih kepada semua wakil rakyat lain atas sikap responsif terhadap jemputan termasuk yang memaklumkan lebih awal tidak dapat turut serta dalam sesi mesyuarat berkenaan.

“Kerjasama menerusi politik ‘Cara Johor’ ini diharap dapat terus diperkukuhkan pada masa akan datang demi kemakmuran rakyat dan negeri Johor,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya