Sempadan negara ‘terbuka luas’ tanpa tembok kekal - Utusan Malaysia

Sempadan negara ‘terbuka luas’ tanpa tembok kekal

OPERASI membabitkan pelbagai agensi dapat mengelakkan pertindihan tugas dan memudahkan segala urusan sekiranya berlaku keadaan yang memerlukan tindakan pantas. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Satu diroboh, tiga lagi bakal muncul. Demikian cabaran dihadapi pihak berkuasa dalam menangani kewujudan kira-kira 128 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sini yang menjadi ‘pintu’ kepada ke­giatan penyeludupan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7, Superintenden Azhari Nusi berkata, biarpun diroboh berkali-kali oleh pasukan kese­lamatan, pangkalan haram yang baharu tetap akan muncul.

“Langkah terbaik bagi membanteras penyeludupan ialah teruskan rancangan membina tembok kekal di sepanjang tebing Sungai Golok. Perkara ini sudah lebih 10 tahun dibangkitkan namun hingga sekarang gagal dimuktamadkan oleh kerajaan.

“Selagi tiada tembok kekal, sempadan Malaysia-Thailand akan terus ‘terbuka’ luas dan kita terpaksa bergantung kepada Su­ngai Golok yang sempit dan cetek sebagai ‘benteng’ semulajadi negara,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi negara yang tidak pernah ‘tidur’ di sepanjang tebing Sungai Golok di negeri ini sehingga didakwa membantu mewujudkan industri kecil dan sederhana (IKS) tersendiri di negara jiran.

Azhari berkata, sepanjang Op Benteng Covid-19, pasukan kese­lamatan telah merobohkan sejumlah besar pangkalan haram dikenal pasti sebagai hotspot sebelum memasang kawat duri atau concertina wire bagi menyukarkan pergerakan penyeludup.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Suara Anak Kelantan Darul Naim (Suara Kelantan), Che Isham­ Sharudin Che Hamat Nordin berkata, walaupun menelan kos tinggi, pembinaan tembok kekal lebih berbaloi berbanding membiarkan subsidi untuk rak­yat terus mengalir keluar ke Thailand saban tahun.

Katanya, kawalan keselamatan negara selama 24 jam sehari tidak boleh bergantung kepada rondaan dan rutin pengawasan anggota keselamatan semata-mata kerana sebagai manusia, kudrat mereka juga ada hadnya.

“Ketika Malaysia belum memuktamadkan cadangan untuk bina tembok kekal ini, di pihak Thailand pula sebaliknya apabila mereka mula membina tembok konkrit tinggi di tebing sebelah sana secara berperingkat sejak beberapa tahun lalu.

“Sampai bila kita nak biarkan sindiket penyeludupan keluar masuk negara kita secara haram melalui sempadan Kelantan? Dalam keadaan pandemik masih berlarutan, saya fikir situasi di sempadan Kelantan-Thailand ini amat membimbangkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya