JOHOR BAHRU: Sebuah kilang yang beroperasi di Jalan Platinum Utama, Pasir Gudang dekat sini dikenakan notis oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) ekoran kejadian seorang pekerja maut selepas terjatuh ke dalam tangki yang mengandungi sisa buangan berjadual.
JKKP Johor dalam satu kenyataan memberitahu, dua notis kepada syarikat terbabit dikeluarkan atas kegagalan memastikan pekerja bekerja dengan selamat ketika melakukan aktiviti kerja di tangki ‘neutralization’ berkenaan.
“Satu notis kerana majikan tidak menyediakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti kerja di tangki dan satu notis kerana majikan tidak melaporkan kemalangan maut yang berlaku dengan segera di pejabat JKKP yang terdekat,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, kejadian melibatkan pekerja lelaki warga Myanmar berusia 35 tahun berlaku pada 7 Mei lalu ketika mangsa sedang melakukan pemeriksaan rutin terhadap tangki berkenaan.
Selepas kejadian, mangsa yang masih sedarkan diri dikeluarkan oleh rakan sekerja sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sehari kemudian atas sebab kecederaan paru-paru dengan sindrom kesesakan respiratori akut (ARDS) dan kegagalan pelbagai organ badan.
“Tangki berkenaan berukuran lapan kaki tinggi dan lapan kaki dalam serta mengandungi sisa air buangan berjadual sedalam satu kaki,” katanya.
Tambah kenyataan itu, JKKP Johor memandang serius kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam.
“Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Majikan bertanggungjawab mengenal pasti bahaya, menganalisis dan mentafsir risiko berkaitan dan melaksanakan langkah kawalan sesuai.
“Ia merupakan kewajipan am di mana majikan perlu menyediakan tempat kerja yang selamat untuk pekerjanya dan orang lain yang berkaitan,” katanya.
JKKP Johor turut memberitahu, kes berkenaan boleh dielak jika majikan menekankan konsep peraturan kendiri dan bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.