PUTRAJAYA: Semak alamat kediaman masing-masing ketika mendaftar vaksin di aplikasi MySejahtera bagi mengelak diberi janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri lain.
Itu nasihat diberikan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin susulan timbul beberapa isu apabila penerima vaksin diberi janji temu di negeri lain gara-gara tidak menyemak alamat kediaman dengan betul.
Beliau berkata, semakan mendapati, ketika pendaftaran dibuat individu berkenaan menggunakan Google Maps API untuk menetapkan lokasi masing-masing dengan menaip nama taman perumahan atau lokasi mereka.
Katanya, apabila carian Google Maps API kemudian membuat padanan terhadap nama taman perumahan atau lokaliti yang mempunyai nama sama di seluruh negara.
“Sebagai contoh, ada seseorang menetap di Taman Bahagia di Kuala Lumpur dan menaip ‘Taman Bahagia’ dan semua Taman Bahagia di Malaysia akan disenaraikan sebagai cadangan Google Maps API.
“Mereka kemudian ‘klik’ pada ‘Taman Bahagia’ yang pertama menyebabkan penetapan itu dibuat ke Taman Bahagia di Sandakan, Sabah.
“Justeru, kami akan meletakkan ciri tambahan dalam MySejahtera untuk anda mengesahkan alamat sebenarnya termasuk negeri dan poskod,” katanya dalam sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.
Katanya, ciri tambahan itu bagi memastikan insiden sama tidak berulang dan dapat dikurangkan pada masa depan.
Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berkata, pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega diwujudkan bagi mempercepatkan agihan vaksin kepada lebih ramai penerima.
“PPV mega mampu memberikan suntikan kepada seramai 8,000 hingga 10,000 orang setiap hari dan ia penting dalam usaha negara mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.
“Bagaimanapun, kami tidak akan berkompromi dalam soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan pusat vaksin kerana menyedari kawasan itu akan dikunjungi ramai orang,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kritikan dibuat bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz yang mahukan PPV kekal beroperasi di dewan serbaguna setempat bagi mengelak kesesakan yang mungkin mencetuskan kluster di PPV.- UTUSAN ONLINE