KUALA LUMPUR: Proses pembelian vaksin Covid-19 di peringkat kerajaan Selangor kini di fasa akhir dengan jangkaan sebanyak dua juta dos bakal diperoleh rakyat negeri itu.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun jenis vaksin dan kaedah agihan suntikan hanya akan diputuskan sebaik semua perjanjian dimuktamadkan.
Katanya, langkah pembelian tersebut dibuat bagi membantu kerajaan mempercepatkan Proses Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
” Perbincangan berlangsung sejak Februari lepas dengan pihak terbabit dan kita berada di fasa terakhir. Paling kurang dalam sekitar dua juta dos. Maknanya kita bantu satu per enam dari keperluan semasa.
” Bagaimanapun jenis vaksin dan bagaimana kita agihkan nanti kita tidak boleh umumkan sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan Program saringan secara percuma di sini semalam.
Selain Selangor, kerajaan Negeri Sarawak juga mengambil keputusan sama dengan menyatakan hasrat bagi memberi sendiri vaksin Covid-19.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, pembelian tersebut juga dibuat demi kesejahteraan rakyat dan bukan bertujuan menjual semata-mata.
” Ada laporan berita seolah-olah kita hanya nak jual vaksin itu. Ia tidak benar dan kita akan bentang semua laporan sebaik perjanjian dengan pembekal dapat diputuskan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE