Selangor beli 2.5 juta dos vaksin, bantu golongan pekerja - Utusan Malaysia

Selangor beli 2.5 juta dos vaksin, bantu golongan pekerja

SITI MARIAH MAHMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Kerajaan negeri mengumumkan sebanyak 2.5 juta dos vaksin Covid-19 telah dibeli menerusi Selgate Corporation bagi membantu hampir sejuta golongan pekerja yang menyumbang kepada 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, sekiranya kerajaan negeri mengambil sikap menunggu semua vaksin diberikan secara percuma daripada kerajaan Pusat, ia dibimbangi akan mengakibatkan sektor ekonomi negara menjadi lumpuh.

Menurutnya, berdasarkan pelan pemberian vaksin yang diumumkan kerajaan, ia mempunyai fasa dan diberikan mengikut keutamaan seperti petugas barisan hadapan, golongan berisiko dan sektor ekonomi akan menjadi golongan akhir untuk menerimanya.

“Oleh itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif membeli dos vaksin ini dan setakat ini, sebanyak 3,500 majikan juga sanggup membelinya kerana mereka hendak cepat.

“Kalau mereka tunggu lama, mereka ini merupakan golongan paling belakang terima vaksin dan akibat jangkitan Covid-19 ini, kilang terpaksa buka dan tutup yang akhirnya mengakibatkan mereka menanggung kerugian,” katanya dalam sidang akhbar khas Covid-19 di Bangunan Annex, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Ditanya mengenai adakah kerajaan negeri sudah mendapat kebenaran kerajaan Pusat mengenai pembelian vaksin tersebut, Siti Mariah memberitahu, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) membenarkan negeri-negeri membeli bekalan vaksin sendiri dengan syarat vaksin yang dibeli itu perlu mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Dari awal kita tahu untuk mendapatkan sesuatu vaksin, ia perlu diluluskan oleh NPRA dan sekarang kita tahu, hanya tiga vaksin diluluskan iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

“Jadi tidak timbul kita perlu mendapatkan kebenaran, selepas mereka menunaikan tempahan pada kerajaan Pusat baru mereka akan memberi layanan apa yang ditempah di peringkat kerajaan negeri.

“Kita sudah sampai ke ‘final stage’ dan dalam masa terdekat minggu depan atau hujung minggu ini, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari akan mengumumkan dengan terperinci tentang vaksin ini,” ujarnya.

Tambahnya, selain pemain industri, golongan berisiko seperti orang kelainan upaya (OKU), penghuni rumah penjagaan, pusat dialisis, orang Asli dan seramai 300,000 warga emas di negeri itu akan didahulukan dalam pemberian vaksin terbabit.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya