JERANTUT: “Kami sudah tegar dengan senario yang melanda ketika ini. Ada atau tidak gelembung perjalanan hijau, Taman Negara sama saja, tetap sepi sejak pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.”
Itu antara kata-kata seorang penggiat ekopelancongan, Sabri Abdullah ketika ditemui di Kuala Tahan dekat sini semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, dia sangat bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk menggantung kebenaran rentas negeri melalui konsep gelembung perjalanan hijau kerana ia tidak memberi apa-apa kesan sektor ekopelancongan di Taman Negara.
“Gelembung perjalanan ini tidak memberi kesan apa-apa di sini. Ada juga seorang atau dua pengunjung ‘ekspatriat’ singgah di sini sebelum ini malahan kami lebih perit apabila pengunjung domestik tidak ada langsung walaupun pelaksanaan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan sebelum ini,” katanya.
Sabri yang juga seorang pekerja hospitaliti di Kuala Tahan berkata, ancaman wabak Covid-19 dan penguatkuasaan PKP, PKPB dan PKPP menyebabkan sektor ekopelancongan di situ sudah lama ‘mati’.
“Dan dalam situasi pandemik yang masih tidak menentu hari ini, kami tidak pasti sampai bila mereka mampu bertahan,’’ katanya sambil menunjukkan semua restoran terapung yang pernah menjadi persinggahan pelawat kini tersadai sejak PKP pertama tahun lalu.
Kelmarin, Menteri Kanan (Kaeselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan membuat keputusan drastik dengan menggantung kebenaran rentas negeri melalui konsep gelembung perjalanan hijau yang mula berkuat kuasa serta-merta.
Kata Ismail Sabri, kaedah gelembung pelancongan bersasar itu meliputi kawasan PKPP.
Sementara itu, Pengusaha Inap Delimah Guest House, Abdul Jalil Abd. Rahman berkata, dia juga positif dengan saranan kerajaan menggantung kebenaran rentas negeri berasaskan kebimbangan penularan pandemik Covid-19 ditambah lagi wujud variasi baru Covid-19 sudah mula dikesan di negera ini.
“Apapun konsep penguatkuasaan dibuat oleh kerajaan, kami di sini (pengusaha inap) dan rakan penggiat lain sama-sama menanggung derita akibat ketiadaan pengunjung sejak penularan bermula tahun lalu. Kita reda dengan ujian Allah,” katanya.
Abdul Jalil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Tahan menambah, kerajaan perlu memberikan penekanan memperkasakan masyarakat berasaskan semakin hebat penularan wabak halimunan itu serta kecuaian penduduk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu.
Dalam pada itu, Pengerusi Bird Group Taman Negara (BGTN), Roslan Abu Kassim berkata, dia bersetuju apa yang diputuskan oleh kerajaan hari ini walaupun agak ‘perit’ menelan sekali gus bakal menyaksikan sektor ekopelancongan mati di Taman Negara pada masa akan datang.
“Kita tidak ada pilihan dalam tempoh ini memandangkan penularan pandemik Covid-19 seperti sudah tidak dapat dikawal lagi sewajarnyalah kerajaan bertindak menerusi penguatkuasaan tertentu.
“Walaupun kami penggiat pelancongan di sini menempuh keperitan untuk kelangsungan hidup tetap kena akur dengan keputusan yang kerajaan buat semata-mata untuk mengawal dan memerangai wabak ini yang belum lagi berpenghujung,” ujarnya. – UTUSAN