PUTRAJAYA: Pelaksanaan Skim Reciprocal Green Lane (RGL) Malaysia – Singapura digantung sementara waktu di peringkat Malaysia bermula Khamis ini susulan negara republik itu disenarai sebagai salah sebuah negara yang melaporkan penularan Variant of Concern (VOC) SARS-CoV-2 dalam komuniti.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu dibuat melalui sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Bilangan 30 Tahun 2021, Jumaat lalu.
Katanya, ia berdasarkan kepada laporan Kementerian Kesihatan Singapura, di mana laporan kes tersebut melibatkan varian Afrika Selatan B.1.351, varian United Kingdom B.1.1.7, varian Brazil B.1.1.28 (P1) termasuklah Variant of Interest (VOI) dari India iaitu B.1.617.1.
“Semua pengembara yang masuk ke Malaysia dari Singapura dan pengembara yang menggunakan kemudahan Skim Periodic Communicating Arrangement (PCA) perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang diiwartakan kerajaan.
“Para pengembara dari Singapura juga tertakluk kepada SOP kemasukan pengembara dari negara-negara dengan penularan VOC SARS-CoV-2 dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, pengembara dari Singapura yang ingin memasuki Malaysia bagi tujuan perniagaan perlu menggunakan saluran One Stop Centre (OSC) yang disediakan pihak Lembaga Pembangunan Malaysia (MIDA).
“Pihak KKM akan sentiasa mengemas kini senarai negara dengan penularan VOC SARS-CoV-2 dalam komuniti dan akan memaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE