Sanusi sokong cadangan PRU-15 dilaksana 2023 - Utusan Malaysia

Sanusi sokong cadangan PRU-15 dilaksana 2023

Muhammad Sanusi Md. Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md. Nor menyokong cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar Pilihan Raya Umum Ke-15 hanya dilaksanakan setelah tamat penggal Parlimen pada 2023.

Menurut beliau, cadangan itu perlu diberi perhatian ketika semua pihak kini bergerak seiringan untuk memastikan ancaman Covid-19 di negara ini dapat diatasi segera.

Katanya, dalam keadaan sekarang, tiada pihak yang bersedia untuk mengulangi ‘kesilapan’ seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sebelum ini.

“Ya, saya sokong cadangan Tun. Dalam keadaan sekarang ini, siapa yang berani keluar mengundi?

“Mengundi ini bukan sekadar keluar memangkah semata-mata. Banyak perlu diuruskan antaranya petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ramai dan ini menjadi antara perkara yang perlu menjadi pertimbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Menerusi laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini, Tun Dr. Mahathir dilaporkan berpendapat PRU-15 tidak sesuai diadakan pada tahun ini ekoran situasi pandemik Covid-19 yang kian membimbangkan.

Malah, beliau percaya pelaksanaan PRU pada tahun ini hanya akan mengakibatkan penularan jangkitan lebih dahsyat.

Mengulas lanjut Menteri Besar Kedah itu berkata, pelaksanaan pilihan raya pada tahun ini juga tentunya akan menimbulkan persoalan-persoalan baharu yang mungkin tidak perlu dijawab sebelum ini.

“Mungkin akan ada beberapa perkara yang menghalang proses pengundian daripada berlaku. Antaranya berkaitan dengan mereka yang dijangkiti Covid-19, adakah mereka akan dibenarkan mengundi dengan mengenakan pakaian pelindung diri (PPE).

“Pembangkang mungkin akan kata bahawa saya menyokong cadangan ini kerana mahu lebih lama menjadi Menteri Besar. Itu biasalah tuduhan dari mereka tetapi apa yang lebih penting, kita perlu pertimbangkan semua perkara-perkara ini agar tidak mendatangkan mudarat kepada semua pihak terutamanya rakyat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN