KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengenakan sekatan pergerakan orang awam dari Sabah untuk masuk dan keluar dari Wilayah Persekutuan Labuan susulan pengesanan varian Covid-19 dari India.
Kemasukan orang awam dari Labuan ke Sabah juga tidak dibenarkan kecuali untuk perkhidmatan dan barangan perlu, keselamatan dan kesihatan serta atas kebenaran khas.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, larangan berkuat kuasa serta-merta sebagai usaha menyekat varian itu menular ke Sabah.
Dengan itu, pengangkutan feri awam juga hanya bagi keperluan perkhidmatan dan barangan yang perlu sahaja.
“Bagi tempoh 28 Mei hingga 7 Jun, permohonan kebenaran bagi pasangan jarak jauh juga tidak akan dipertimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Masidi berkata, hari ini sebanyak 229 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan bilangan kumulatif sejumlah 61,057 kes.
Faktor utama penyebab peningkatan kes Covid-19 di Sabah adalah kegagalan orang awam dan pemilik-pemilik premis perniagaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang telah
ditetapkan terutamanya pemakaian pelitup muka.
Untuk itu, pemilik premis perniagaan dikehendaki mempamerkan SOP Covid-19 di setiap premis perniagaan milik masing-masing.
“Mana-mana premis yang mempunyai peralatan hebahan (sistem PA) perlu memberi peringatan kepada pelanggan mereka untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan. Hebahan berkala ini perlu dilakukan setiap satu jam,” katanya.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga akan membekalkan poster kepada setiap premis perniagaan untuk dipamerkan. Poster itu akan dilengkapi dengan nombor telefon aduan yang boleh dihubungi bagi melaporkan sekiranya ada orang awam yang melanggar SOP.
Menurutnya, pihak penguatkuasa juga akan sentiasa membuat rondaan bagi memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya. -UTUSAN ONLINE