Sabah okey, tiada pembelian panik - Utusan Malaysia

Sabah okey, tiada pembelian panik

Orang ramai dilihat beratur panjang membeli barangan keperluan di Bataras Hypermarket ITCC Penampang, Sabah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG: Setiap kali sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) orang ramai akan dilihat berpusu-pusu ke pasaraya untuk menyediakan stok bekalan makanan.

Begitu juga dengan pengumuman pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) fasa pertama yang akan berkuat kuasa selama 14 hari bermula esok.

Tinjauan di Bataras Hypermarket ITCC Penampang mendapati bilangan pengunjung lebih ramai daripada hari-hari biasa.

Jurucakap Bataras Hypermarket di ITCC ketika ditemui memaklumkan, sukar untuk menyatakan pelanggan yang ramai itu disebabkan pembelian panik kerana sekarang di Sabah sedang meraikan sambutan Pesta Kaamatan.

“Ini adalah kawasan masyarakat Kadazan Dusun jadi sukar untuk menyatakan situasi ini sebagai pembelian panik.

“Besar kemungkinan pelanggan yang berbelanja di sini ingin meraikan Pesta Kaamatan di rumah masing-masing. Kehadiran pelanggan hari ini memang ramai daripada kebiasaannya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, semasa musim perayaan pasaraya seperti mereka sentiasa menjadi tumpuan untuk orang ramai membeli belah, jadi tidak hairan pada musim Kaamatan ini juga begitu.

Sementara itu, seorang suri rumah, Noor Syakira Zulkifli berkata, sebelum pelaksanaan PKP biasanya orang ramai akan membeli kelengkapan dapur sebagai persediaan.

Walaupun kebenaran diberikan untuk keluar membeli barangan semasa PKP tapi, dia tetap membeli sedikit barang keperluan dapur kerana malas hendak keluar semasa PKP berkuat kuasa.

Katanya, biarpun orang ramai beratur membeli barangan tapi kebanyakan orang membeli untuk keperluan rumah dan bukannya melakukan pembelian panik.

“Rasanya tidak ramai yang membuat pembelian panik berbanding semasa pelaksanaan PKP pada Mac 2020. Kita sudah belajar daripada pengalaman lepas bahawa tidak perlu melakukan pembelian panik kerana kebenaran masih diberikan untuk membeli barang keperluan dapur,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya