KUALA PILAH: Laporan Utusan Malaysia pada 24 Mac lalu yang mengisahkan seorang wanita warga emas hidup serba kekurangan di bawah sebuah rumah pusaka serba usang di Kampung Ulu Bendul dekat sini mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Ia selepas peruntukan sebanyak RM30,000 disalurkan kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti bagi membina sebuah rumah baharu di tanah milik warga emas itu, Sapiah Kaweh, 76, pada penghujung bulan Mac lalu.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Kampung Ulu Bendul, Shahrin Mat Basir berkata, pembinaan rumah Sapiah yang mesra dipanggil Uwan Sapiah itu telah bermula sejak awal bulan lalu secara bergotong-royong oleh penduduk kampung berkenaan.
“Selepas mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri, kami telah memulakan gotong-royong secara bersama tujuh orang penduduk membina sebuah rumah bersaiz 20 kaki x 30 kaki persegi untuk Uwan Sapiah.
“Rumah ini dijangka siap sepenuhnya pada minggu hadapan turut melibatkan pejabat penyelaras DUN Seri Menanti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kampung tersebut semalam.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan, Sapiah terpaksa tinggal di bahagian bawah rumah pusaka itu kerana tidak berani untuk mendiami bahagian atas rumah itu yang sudah lapuk.
Lebih menyedihkan, dia tinggal di rumah itu sejak 20 tahun lalu bersama seorang anak lelakinya berusia 50 tahun tanpa mempunyai kemudahan tandas yang selesa.
Memeritkan lagi, Sapiah hanya mampu mengengsot untuk bergerak ke mana-mana kerana mengalami kesakitan pada bahagian lutut.
Sementara itu, Sapiah berkata, dia amat bersyukur apabila hasratnya untuk memiliki sebuah rumah di atas tanah sendiri akhirnya menjadi kenyataan.
“Saya bersyukur dan ucapkan terima kasih, tidak sangka sebelum saya menutup mata dapat rumah baharu. Saya tidak dapat melihat lagi rumah yang telah siap, cuma dapat lihat gambar yang ditunjukkan kepada saya,” katanya.
Sementara itu, menurut Shahrin, rumah berkenaan akan dilengkapi dengan sebuah bilik, tandas dan ruang tamu bagi keselesaan Sapiah. – UTUSAN ONLINE