Rugi RM122,000 angkara pinjaman RM10,000 - Utusan Malaysia

Rugi RM122,000 angkara pinjaman RM10,000

Mohd. Padzli Mohd. Zain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Belum pun lulus pinjaman RM10,000 yang dimohon melalui sebuah laman sesawang iklan pinjaman wang, seorang lelaki mengalami kerugian lebih RM122,000.

Mangsa berusia 33 tahun tampil membuat laporan polis pada pukul 3.37 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) setelah menyedari tertipu selepas membuat 42 transaksi pembayaran.

Ketua Polis Daerah JBS, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, bahagian Siasatan Jenayah Komersial menerima laporan lelaki itu yang menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud melalui laman sesawang.

Katanya, mangsa telah melayari sebuah laman sesawang iklan pinjaman wang dan berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM10,000 untuk kegunaan urusan perniagaan.

Tambahnya, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman tersebut dan telah menyerahkan dokumen peribadi kepada suspek selepas mangsa berhubung dengannya melalui WhatsApp.

“Dalam hal ini, mangsa telah membuat pembayaran secara berperingkat iaitu 42 transaksi yang berjumlah RM 122,044,14 ke dalam 10 akaun bank tempatan yang berlainan untuk meluluskan proses pinjaman.

“Mangsa mula menyedari telah tertipu setelah suspek mendesak mangsa membuat pembayaran tambahan sedangkan pinjaman belum diperoleh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun, boleh dikenakan sebatan dan denda.

“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam urusan untuk membuat pinjaman wang melalui laman sesawang.

“Jangan mudah percaya untuk membuat pinjaman wang dengan individu yang tidak mempunyai lesen syarikat pinjaman wang yang sah. Beringat sebelum terkena dan elakkan diri dari menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi IPD Johor Bahru Selatan di talian hotline 07-2182323. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya