Rocky, Waiko bantu polis jaga SJR - Utusan Malaysia

Rocky, Waiko bantu polis jaga SJR

ANGGOTA Unit K9 IPK Perak memeriksa kenderaan berat yang melalui SJR menggunakan anjing pengesan di Jalan Abdul Raof, Parit Buntar. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ditugaskan membantu polis di sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah Kerian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Anjing dikenali sebagai Rocky dan Waiko itu akan berada di 10 SJR di mana tugasan bagi membanteras aktiviti jenayah khususnya penyeludupan dadah turut dibantu K9 Bukit Aman.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Perak, Superintenden Mohd. Husni Manaf berkata, penugasan tersebut penting bagi mencegah aktiviti penyeludupan dadah yang menyasarkan laluan di Jalan Persekutuan.

Katanya, kedudukan daerah Kerian yang bersempadan dengan Kedah dan Pulau Pinang juga dikhuatiri menjadi laluan kepada aktiviti pengedaran dadah.

“Penugasan ini turut melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian bagi melakukan pemeriksaan pada kenderaan yang melalui SJR dengan bantuan Unit K9.

“Sepanjang penugasan ini terdapat beberapa kejayaan kecil melibatkan tangkapan seramai 16 orang di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952.

“Daripada jumlah itu, lapan ditangkap di bawah ADB iaitu Seksyen 398 dan Seksyen 12(2) dengan jumlah rampasan seberat 40 gram manakala selebihnya di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai pemeriksaan kenderaan yang melalui SJR di Jalan Abdul Raof di sini semalam.

Operasi bermula pukul 10 malam itu melibatkan kira-kira 20 anggota dan dua ekor anjing pengesan Unit K9 bersama pengendalinya.

Sementara itu, Mohd. Husni berkata, seramai 226 individu ditahan sejak Januari hingga April lalu di daerah Kerian di atas pelbagai kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.

Katanya, operasi bersepadu juga sentiasa diadakan di sekitar daerah itu bagi membendung masalah tersebut.

“Pada masa sama, kita juga meminta kerjasama orang ramai membantu polis menyalurkan sebarang maklumat bagi membanteras kegiatan tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya