RM700 juta naik taraf telekomunikasi di Kelantan - Utusan Malaysia

RM700 juta naik taraf telekomunikasi di Kelantan

MOHAMED Fadzli menyampaikan kelengkapan internet kepada wakil sekolah YIK secara pandu lalu di Kompleks Pentadbiran YIK di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM700 juta untuk membangunkan infrastruktur telekomunikasi di Kelantan termasuk pembinaan lebih banyak menara pencawang bagi menaik taraf perkhidmatan internet di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, inisiatif di bawah Program Jalinan Digital Negara (Jendela) itu dikendalikan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia. 

“Pembinaan menara dibuat di lokasi yang mempunyai masalah capaian internet, khususnya di kawasan pedalaman bagi melengkapkan jaringan komunikasi, termasuk memudahkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Bagaimanapun usaha ini dijangka mengambil sedikit masa,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan komputer riba, skrin projektor, mikrofon dan peranti paparan diod pemancar cahaya (LCD) bagi kegunaan PdPR di Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK) di sini hari ini.

Penyampaian kelengkapan PdPR kepada 47 sekolah, termasuk dua tadika di bawah YIK itu dibuat secara pandu lalu dan turut dihadiri Pengarah YIK, Engku Rajhan Engku Ismail.

Selain itu, YIK turut mengedarkan buku garis panduan prosedur operasi standard (SOP) kepada sekolah-sekolah di bawahnya dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sinar (Papisma) cawangan Kelantan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 bagi mengagihkan kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada semua 93 sekolah YIK di seluruh negeri ini.

“Penyerahan sumbangan kelengkapan ini akan diadakan secara berperingkat dan ia diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membantu melancarkan sesi PdPR membabitkan pelajar dan guru,” katanya.

Beliau turut memberitahu, setiap Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Kelantan kini dilengkapi capaian internet lebih laju sehingga 800 Mbps bag membolehkan penduduk di setiap kawasan mengikuti PdPR dengan lebih baik.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya