Remaja 16 tahun antara sembilan ditahan edar dadah - Utusan Malaysia

Remaja 16 tahun antara sembilan ditahan edar dadah

AZMAN Mat Kamis menunjukkan dadah yang dirampas dalam Op Tapis Khas pada sidang akhbar di IPD Jerantut di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang remaja berusia 16 tahun antara sembilan lelaki ditahan polis dalam empat serbuan berasingan Op Tapis Khas kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan tanah rancangan Felda sekitar daerah ini.

Dalam operasi bermula pukul 11 malam pada Ahad lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 62 tahun.

Turut dirampas syabu seberat 70.13 gram, heroin (200.2 gram), ganja (3.81 gram) air ketum (23 liter) dan daun ketum seberat 1.63 kilogram dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM26,107.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintenden Azman Mat Kamis berkata, remaja tidak bersekolah itu bersama tiga yang lain positif dadah jenis methamphetamine setelah menjalani saringan ujian air kencing.

“Dalam serbuan pertama Op Tapis Khas di tepi jalan Felda Kota Gelanggi-Felda Lepar Utara, polis menahan seorang lelaki berusia 44 tahun dan merampas dadah syabu atau methamphetamine. Susulan serbuan pertama itu, polis menahan dua lagi berusia 25 dan 46 tahun pada hari sama di stesen minyak Felda Sungai Tekam Utara dalam sebuah kereta.

“Pemeriksaan ke atas tubuh badan dan kereta yang dinaiki, polis menemukan syabu seberat 52 gram, heroin (39 gram), pil erimin 5 (10 gram) dan ganja satu gram,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Jerantut di sini hari ini.

Azman berkata, serbuan ketiga di sebuah rumah di Felda Sungai Tekam Utara dan polis menahan remaja berusia 16 tahun dan merampas dadah heroin 161.2 gram dan syabu 11 gram bernilai RM6,480.

“Dalam serbuan keempat di Felda Lepar Utara pula, polis menahan lima lelaki berusia antara 30 hingga 62 tahun dan merampas syabu seberat 0.13 gram, ganja (2.81 gram), daun ketum (1.63 kilogram), air ketum (23 liter) dan rokok seludup 32 kotak,” katanya.

Beliau berkata, tiga suspek daripada sembilan orang yang ditangkap itu melakukan kesalahan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya