Ramai masih takut disuntik vaksin - Utusan Malaysia

Ramai masih takut disuntik vaksin

KEADAAN Dewan Dato Mohamed Jamrah yang lengang semasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa II Daerah Bagan Datuk semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa II Daerah Bagan Datuk di Dewan Dato Mohamed Jamrah, Sungai Sumun di sini tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan apabila jumlah penduduk yang datang untuk menerima suntikan vaksin agak rendah.

Daripada 180 penduduk yang telah mendaftar, hanya 80 orang penduduk sahaja yang datang untuk menerima suntikan berkenaan.

Ketua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di sini, Dr. Abu Bakar Hamdan berkata, sejak hari pertama PPV itu dibuka semalam, jumlah kehadiran penduduk tidak sampai separuh daripada 180 yang telah mendaftar walaupun pelbagai kempen dan promosi mengenai program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sudah dijalankan.

“Apa yang membimbangkan ialah vaksin imunisasi ini mempunyai tempoh, ia tidak boleh disimpan terlalu lama.

“Setelah vaksin ini dikeluarkan dari makmal hospital, ia hanya bertahan selama lima hari saja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, vaksin Pfizer memerlukan seramai lima orang bagi melakukan suntikan dan jika kurang walaupun seorang, suntikan tidak boleh diberikan dan perlu menunggu sehingga kehadiran penerima kelima.

“Untuk mencukupkan bilangan lima penerima dalam satu-satu masa, kami terpaksa menghubungi penerima melalui telefon dengan meminta supaya mereka datang segera untuk diberikan suntikan vaksin,” katanya.

Menurutnya, kurangnya penduduk yang datang untuk menerima imunisasi mungkin disebabkan mereka masih takut dan waswas untuk menerima suntikan vaksin.

“Ada antara mereka yang kata nak tunggu dan lihat keadaan orang yang telah menerima suntikan, jika sihat dan tidak ada apa-apa kesan, barulah mereka sedia menerima vaksin,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN