Rakyat Sri Lanka, Bangladesh, Pakistan dan Nepal dilarang masuk Malaysia - Utusan Malaysia

Rakyat Sri Lanka, Bangladesh, Pakistan dan Nepal dilarang masuk Malaysia

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas India disekat memasuki negara ini pada 29 April lalu, empat lagi negara rantau Asia Selatan turut menerima nasib sama yang berkuat kuasa serta merta.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tambahan sekatan baharu itu kali ini meliputi semua warganegara Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka dan Nepal.

“Ia melibatkan semua kategori pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang, Pelawat Perniagaan Antarabangsa dan Lawatan Sosial,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak pula menyatakan secara terperinci alasan larangan kemasukan rakyat dari empat negara berkenaan yang secara kebetulan merupakan jiran dengan India.

Namun, perintah sekatan itu dipercayai ada kaitan dengan penularan Covid-19 varian India dengan mutasi berganda dikenali B.1.617.1 yang amat berbahaya dan mudah cepat merebak.

Varian dengan kadar pertumbuhan virus wabak lebih tinggi itu mula ditemui di India pada 27 April lalu dan tiga hari kemudian dilaporkan sudah menular pantas di 17 negara seluruh dunia.

Malah, kes pertama dikesan di Malaysia menerusi kemasukan seorang rakyat India yang melakukan saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 10 April lalu.

Ismail Sabri bagaimanapun menjelaskan bahawa pengecualian kemasukan hanya diberi kepada pemegang pasport diplomatik dengan pematuhan prosedur operasi standard sedia ada.

“Pemegang pas rasmi kategori ini dipertimbangkan memasuki Malaysia seperti diperuntukkan dalam senarai Konvensyen Vienna Berkenaan Hubungan Diplomatik 1961,” kata beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN