Rahsiakan status positif lebih sebulan daripada keluarga - Utusan Malaysia

Rahsiakan status positif lebih sebulan daripada keluarga

SYARAFAAT Yaacob (dua dari kiri) bersama jemaah Masjid At-Taqwa di Pulau Pinang selepas dijemput menjadi imam tarawih dan solat sunat tahajjud di masjid berkenaan baru-baru ini. -UTUSAN/ ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM – “Lebih sebulan saya dan isteri terpaksa merahsiakan daripada keluarga dan keluarga mentua yang saya telah disahkan positif Covid-19.

“Hari ini (16 April) saya ‘poskan’ di sini (laman Facebook) setelah disahkan ‘clean’ (bebas daripada jangkitan). (Mungkin) supaya setelah saya lupa nanti, ada teguran Allah yang saya tulis di sini untuk renungkan kembali.”

Itu coretan seorang bekas pesakit Covid-19, Syaraafat Yaacob, 32, selepas terpaksa ‘bergelut’ dengan pandemik itu yang mula menyerangnya sejak awal Mac lalu.

Selain terpaksa menjalani kuarantin selama 10 hari di sebuah pusat kuarantin, jurutera kilang itu juga menyaksikan sendiri bagaimana virus pembunuh itu meragut nyawa seorang jemaah masjid yang dianggapnya seperti seorang bapanya sendiri.

“Walaupun bekerja di kilang, pada masa yang sama, saya juga bertugas sebagai imam di sebuah masjid di Pulau Pinang.

“Sebab itulah saya terpanggil untuk berkongsi kisah ini kerana ia melibatkan para jemaah di masjid tempat saya bertugas. Mereka ini (semua jemaah masjid) sangat rapat dengan saya dan saya telah anggap mereka seperti keluarga saya sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Anak jati Kelantan yang telah bermastautin di negeri ini sejak 2008 itu memberitahu, ketika mula-mula disahkan positif Covid-19 sebelum ini, perkara pertama yang terlintas di fikirannya ialah keselamatan isteri dan anak-anaknya kerana bimbang mereka turut dijangkiti.

Bagaimanapun, kata Syaraafat yang mengalami simptom seperti demam dan hilang deria bau itu, dia bersyukur kerana mereka disahkan negatif hanya selepas dua hari dia ditempatkan di pusat kuarantin berkenaan.

Katanya, selepas disahkan positif, dia turut memaklumkan kepada semua kontak rapat di tempat kerjanya supaya mereka turut mengambil tindakan sewajarnya termasuk melakukan ‘swab test’ sebelum kesemua mereka disahkan negatif.

Namun katanya, dia tetap gusar apabila memikirkan nasib rakan sejawatnya di masjid iaitu seorang imam berusia 63 tahun yang kemudian disahkan positif bersama tiga ahli keluarganya yang lain kira-kira tiga hari selepas dia menyerahkan senarai kontak rapat di masjid kepada wakil Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.

Lebih memeritkan ujar Syaraafat, dia menerima berita seorang lagi jemaah masjid tempatnya bertugas turut dijangkiti Covid-19 walaupun pada masa yang sama menerima berita gembira apabila imam yang sebelum ini disahkan positif bersama ahli keluarganya kembali sembuh kira-kira seminggu selepas keluar dari pusat kuarantin tersebut.

“Apabila menerima khabar duka mengenai pemergian jemaah terbabit pada 16 April lalu, perasaan saya ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu dan semoga Allah mengampuni segala dosanya serta menempatkan dia dalam kalangan orang yang soleh,” katanya.

Tambah Syaraafat, dia bagaimanapun bersyukur kerana dikelilingi oleh keluarga yang hebat dan amat memahami situasi yang menimpa dirinya ketika ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya