KANGAR : Sebanyak 800 bungkusan bubur lambuk diedarkan di tiga sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini menerusi Program Bubur Lambuk anjuran bersama Persatuan Wartawan Perlis (PWP) dan Giganation GIB Bhd. di SJR Jelempok di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam negeri, Azman Mohd. Yusof berkata, inisiatif tersebut disambut baik kerana menunjukkan penghargaan kepada khidmat bakti petugas barisan hadapan.
Katanya, program seumpama itu sedikit sebanyak akan menaikkan moral petugas apabila dihargai oleh masyarakat.
“Mereka (pasukan barisan hadapan) telah berkhidmat sejak lebih setahun lalu bagi mengawal keselamatan serta ketenteraman awam. Sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak dapat menceriakan petugas barisan hadapan di bulan Ramadan.
“Sementara itu, bubur lambuk tersebut juga diedarkan kepada kenderaan yang melalui tiga SJR yang terlibat iaitu di Jelempok, Pauh dan Sanglang,” katanya.
Program tersebut yang dibiayai sepenuhnya oleh Giganation GIB Bhd. itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammad Nahur Azad Ibrahim dan Presiden PWP, Asry Shafii.
Sementara itu, Mohammad Nahur Azad berkata, resepi istimewa bubur lambuk udang lipan tersebut disediakan secara gotong-royong oleh kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Jelempok.
“Selain diedarkan kepada SJR, bubur lambuk istimewa ini turut diedarkan kepada kakitangan serta waris pelajar sekolah terbabit.
“Program tersebut diadakan bukan sahaja untuk menghargai petugas barisan hadapan semasa bulan Ramadan tetapi juga menambah keceriaan masyarakat untuk menikmati juadah yang sinonim dengan bulan puasa tersebut. -UTUSAN ONLINE