Putra gesa siasat bekas Peguam Negara - Utusan Malaysia

Putra gesa siasat bekas Peguam Negara

HAMIDAH Osman ditemui pemberita selepas membuat laporan polis terhadap Tommy Thomas di Balai Polis Kampung Rapat, Medan Gopeng di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa siasatan dijalankan terhadap Tan Sri Tommy Thomas berhubung tindakan bekas Peguam Negara itu melantik Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam perbicaraan rasuah membabitkan isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman berkata, berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kampung Rapat, Medan Gopeng di sini, hari ini.

Menurutnya, laporan polis itu berhubung pembohongan, penipuan serta memberikan pernyataan palsu di dalam Afidavit Tommy Thomas bertarikh 11 Mei 2020 bagi menentang permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan deklarasi agar prosiding perbicaraan kes solar di Mahkamah Tinggi adalah tidak sah dan terbatal.

“Tommy Thomas berbohong apabila mengatakan Gopal Sri Ram dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan di dalam kes solar secara lisan menurut S376(3) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) semasa beliau menjadi Peguam Negara.

“Beliau mengatakan surat pelantikan secara bertulis tidak diperlukan kerana pelantikan lisan sudah memadai yang mana sebelum ini pihak pendakwaan tidak pernah membangkitkan berkenaan perlantikan lisan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di sini hari ini.

Menurutnya, Tommy Thomas turut berbohong dalam afidavit tersebut apabila mengatakan penggantinya, Tan Sri Idrus Harun telah mengesahkan autoriti lisan perlantikan Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan.

Katanya, namun perkara ini tidak pernah disahkan di dalam fiat bertarikh 8 Julai 2020 yang diperoleh peguambela Rosmah melalui perintah Mahkamah Rayuan pada April lalu.

“Saya percaya penipuan dan pembohongan oleh Tommy Thomas di dalam afidavit itu adalah berniat jahat dan menzalimi Datin Seri Rosmah dengan cubaan untuk menipu rakyat Malaysia dan menutup mata mahkamah berkenaan isu ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan penyalahgunaan kuasa oleh Tommy Thomas kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu yang sama memandangkan ia merupakan perkara yang serius.

“Bayangkan seorang Peguam Negara melantik timbalan pendakwa raya hanya secara lisan tanpa mengeluarkan sebarang surat dan bagi saya sebagai seorang bekas pengamal undang-undang perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan soal perundangan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya