Punca banjir teruk di Bukit Rambai - Utusan Malaysia

Punca banjir teruk di Bukit Rambai

MOHAMAD ALI Mohamad menunjukkan Sungai Ayer Salak yang dipenuhi semak samun dan pohon kiambang di Kampung Bukit Datuk A, Bukit Rambai, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Banjir teruk yang melanda enam taman perumahan dan empat buah kampung melibatkan hampir 5,000 penduduk di Bukit Rambai di sini dua hari lepas berpunca daripada Sungai Ayer Salak yang tidak diselenggara dengan sempurna oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, ini kerana sungai tersebut dipenuhi semak-samun dan pokok kiambang sepanjang hampir satu kilometer, lantas menyekat aliran air.

Katanya, ia menyebabkan air sungai melimpah ke penempatan penduduk berhampiran lantas mengakibatkan banjir sehingga paras lutut pada Isnin lalu.

Tambah beliau, banjir yang melanda disebabkan kecuaian dan ketidakpekaan JPS negeri telah menyebabkan kesengsaraan dan kerosakan harta benda penduduk di sekitar Bukit Rambai.

“Saya diberitahu oleh penduduk Sungai Ayer Salak sudah hampir setahun tidak diselenggara oleh JPS sehingga ia dipenuhi dengan semak samun. 

“Bayangkan aliran sungai terhalang dan air melimpah biarpun hujan hanya selama beberapa jam. Keadaan itu menyebabkan sebahagian besar rumah penduduk di Bukit Rambai dan kawasan sekitar dilanda banjir paling teruk.

“Tinjauan saya mendapati kebanyakan penduduk kerugian ribuan ringgit apabila barang-barang rumah seperti perabot, peti sejuk dan sebagainya rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas membuat lawatan mengejut di Kampung Bukit Datuk A di sini, hari ini.

Ekoran hujan lebat yang berlaku dua hari lalu, beberapa kawasan di negeri ini dilanda banjir. 

Bukit Rambai merupakan antara salah satu kawasan yang teruk ditimpa musibah.

Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang pula, seramai 128 orang mangsa daripada 23 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai.

Antara yang terjejas teruk ialah Taman Rambai Utama, Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Indah, Kampung Bukit Rambai, Kampung Ayer Salak dan Kampung Seberang Gajah.

Mohamad Ali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) Klebang menambah, JPS perlu segera membersihkan sungai tersebut bagi mengelak kejadian sama berulang.

Tegasnya, jika ia diselenggara dan dibersihkan mengikut jadual, sudah pasti kejadian banjir tidak akan berlaku di Bukit Rambai serta kawasan sekitarnya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya