GEORGETOWN: Statistik harian kes positif Covid-19 yang terus meningkat termasuk paling tinggi di Pulau Pinang kelmarin ternyata tidak menghadirkan rasa bimbang dalam kalangan orang ramai untuk terus memenuhi pasar raya di sini bagi membeli persiapan Aidilfitri.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, orang ramai terus berpusu-pusu dan bersesak di beberapa buah pasar raya di sini untuk membeli-belah kelengkapan hari raya ketika Aidilfitri akan disambut beberapa hari lagi.
Meskipun majoriti mereka mematuhi prosedur standard operasi (SOP) mencegah penularan Covid-19 terutama memakai pelitup muka, namun aspek penjarakan fizikal dilihat tidak dipraktikkan dengan sempurna.
Ini berikutan pengunjung dilihat bersesak-sesak khususnya di ruangan pakaian kanak-kanak disebabkan tiada pengawasan daripada pihak pengurusan pasar raya selain kemasukan orang ramai yang tidak dihadkan.
Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlah, 40-an, berkata, dia tidak mempunyai pilihan apabila terpaksa membawa tiga anaknya membeli persiapan hari raya memandangkan Aidilfitri akan disambut hanya beberapa hari lagi.
Katanya, kesibukan dia dan suami yang bekerja menyebabkan mereka hanya dapat meluangkan masa membeli persiapan hari raya pada cuti hari minggu serta pada saat-saat akhir.
“Pada awalnya saya tidak bersemangat pun untuk membeli persiapan hari raya kerana sambutan tahun ini tidak semeriah dulu kerana Covid-19 dan kami pun tidak dapat pulang beraya di Ipoh, Perak.
“Tetapi mengenangkan anak-anak yang tetap tidak sabar untuk beraya, jadi kami tetap membeli kelengkapan baharu meskipun pada saat-saat akhir,” katanya di sini.
Bagi Zakaria Razlan, 40-an, pula, dia sengaja memilih minggu terakhir sebelum Aidilfitri untuk membeli-belah persiapan hari raya dengan harapan dapat mengelakkan kesesakan.
“Kebiasaannya juga apabila sudah hampir hari raya lebih banyak diskaun diberikan, sebab itu saya sering memilih saat-saat akhir untuk membeli-belah,” katanya yang turut membawa isteri dan empat anak-anaknya.
Ditanya mengenai situasi pandemik Covid-19 yang semakin serius di negeri ini, Zakaria berkata, dia menyedari mengenai perkara itu dan sentiasa mengingatkan ahli keluarga yang lain supaya lebih berhati-hati dan mematuhi SOP.-UTUSAN ONLINE