PETALING JAYA: Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Puad Zarkashi menafikan penglibatannya berhubung rusuhan di Parit Raja, Batu Pahat semalam.
Beliau berkata, ada pihak yang cuba mengaitkan dirinya dengan insiden tersebut, sedangkan Parit Raja terletak di Parlimen Sri Gading.
“Mungkin pertama, kerana saya Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat. Kedua, kerana saya konsisten mengkritik kerajaan.
“Perlu dijelaskan, Parit Raja berada dalam kawasan Parlimen Seri Gading bukan Parlimen Batu Pahat. Maka jangan tuduh semberono,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.
Pada masa sama, Puad juga kurang bersetuju dengan tindak balas kerajaan terhadap rusuhan tersebut.
“Sepatutnya yang perlu difikirkan kenapa di hari raya pertama rakyat sanggup buat perkara tersebut. Jangan fikir soal nak tangkap mereka sahaja.
“Bukan itu sahaja, ada yang berhari raya di lebuh raya sambil tayang sepanduk,” katanya.